sukan

Selangor FC dah sedia hadap

Selangor FC (SFC) bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang bakal menimpa mereka selepas mengambil keputusan untuk tidak menyertai saingan Piala Sultan Haji Ahmad Shah, malam esok.

Situasi itu diakui Pengerusi Jawatankuasa Teknikal SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang menjelaskan keputusan itu diambil selepas perbincangan lanjut diadakan bersama semua pemegang taruh pasukan itu.

“Ya, kami bersedia untuk berdepan apa sahaja kesan yang bakal timbul susulan keputusan yang diambil SFC. Perbincangan diadakan dengan pelbagai pihak dan keputusan itu diambil selepas pertimbangan dan pelbagai faktor diteliti.

“Langkah ini juga mendapat sokongan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Penaung SFC. Semua pihak mengambil maklum kenyataan terbabit dan baginda bertitah ini bukan sahaja aspek keselamatan tetapi membabitkan moral pasukan.

“Ia sudah terjejas susulan serangan asid ke atas pemain sayap kami, Faisal Halim,” kata Shahril.

Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan SFC di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok dibatalkan susulan keputusan SFC untuk tidak hadir menyertai perlawanan terbabit.

Menerusi satu kenyataan hari ini, badan pengendali liga itu mengumumkan skuad Harimau Selatan turut mendapat tiga mata pertama bagi musim 2024/25 tanpa perlu ‘berpeluh’.

Bagaimanapun, MFL menjelaskan perkara lain berkenaan penarikan diri SFC itu akan diputuskan selepas mesyuarat bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“Keputusan SFC itu dimaklumkan menerusi surat rasmi yang dihantar kepada MFL sekali gus menyaksikan JDT bakal diberikan kemenangan ‘walkover’ dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi perlawanan Liga Super (LS1).

sumber:- BH

“Perkara-perkara lain juga berkenaan penarikan diri itu akan dibawa ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan MFL.