sukan

Reaksi JDT selepas Selangor tarik diri

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) tampak kecewa dengan keputusan Selangor FC untuk tidak hadir bagi meneruskan perlawanan Piala Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super musim 2024-2025 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Menerusi kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards di laman rasmi Johor Southern Tigers menegaskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, bahawa keselamatan pasukan, pemain dan penyokong menjadi keutamaan.

“Pihak polis mengesahkan akan menggandakan kehadiran dengan 1,500 anggota ditugaskan dan tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan semua pihak, termasuk pemain, pada perlawanan akhir Piala Sumbangsih 2024, Jumaat ini.

“Kami sememangnya mengutuk keras insiden melibatkan Faisal Halim dan juga ancaman diterima beberapa individu di Selangor FC tetapi kami berharap agar pasukan itu dapat mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak hadir dari perlawanan.

“Ini kerana ianya boleh menetapkan ‘precedent’ untuk mana-mana pasukan menarik diri kerana berasakan tidak selamat meskipun mendapat jaminan daripada pihak Polis,” katanya dalam kenyataan itu.

Semalam pengurusan Selangor FC membuat keputusan mengejut selepas menarik diri daripada beraksi dalam perlawanan Piala Sumbangsih yang dijadual berlangsung, malam esok.

Selangor FC dalam kenyataan rasmi menyatakan mereka mengambil keputusan berkenaan selepas mengambil kira keselamatan pemain dan pegawai yang menjadi keutamaan pasukan itu walaupun pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mahu meneruskan perlawanan itu.

Edwards menegaskan JDT pernah diserang dalam keadaan yang ‘hostile’ ketika di Pahang, Perak dan Kelantan pada di awal transformasi pasukan itu namun tetap hadir ke gelanggang lawan dan turun beraksi dalam perlawanan yang dikawal ketat pihak polis.

“Selangor tidak pernah diserang di Stadium Sultan Ibrahim. Malahan pasukan dan penyokong mereka sentiasa dikawal polis menuju masuk ke stadium dan mengawal mereka sejurus perlawanan tamat sehingga ke bas dalam perlawanan sebelum ini.

sumber:- HM

“Kita perlu meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa bukan hanya untuk menyiasat kes-kes ini tetapi juga untuk menjaga keselamatan dan memastikan musim bola sepak 2024-25 berjalan lancar,” kata Edwards.