sukan

Luahan sedia Faisal Halim selepas menjadi mangsa simbah asid

“Kenapa mereka buat saya begini.”

Itu luahan sedih pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim selepas menjadi mangsa simbah asid, semalam.

Perkara itu dikongsikan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin selepas beliau menjadi antara individu terawal melawat Faisal di hospital, malam tadi.

Hamidin yang turut bersimpati dan sedih dengan apa yang menimpa Faisal, memaklumkan pemain berusia 26 tahun itu juga berada dalam keadaan trauma.”Saya ada cakap dengan Faisal dan isteri dia, lupakan dulu mengenai bola kerana kesihatan lebih penting. Ada benda (percakapan dengan Faisal) saya tak boleh kongsi.

“Namun, dia (Faisal) menangis sambil kata ‘kenapa mereka buat saya macam ini’. Dia sedih, saya pun sedih tengok dia. Saya difahamkan doktor tengah tengok asid itu jenis macam mana, takut yang jenis makan dalam.

“Kita harap Faisal mendapat rawatan yang terbaik dan kembali pulih. Dua kejadian membabitkan dua pemain kebangsaan (termasuk Akhyar Rashid), kita sedih dan kesal benda ini terjadi. Semua pemain kena lebih berhati-hati,” katanya ketika temu bual bersama BH Sukan di Wisma FAM, hari ini.

Terdahulu, Faisal dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian lengan dan badan selepas diserang individu tidak dikenali menggunakan bahan dipercayai asid ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, petang semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, semalam dilaporkan berkata seorang lelaki ditahan di Pandan Indah bagi membantu siasatan.

Selain itu, Hamidin enggan membuat sebarang spekulasi mengenai punca kejadian yang menimpa Faisal, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan.

sumber:- BH

Beliau turut menjelaskan, kecederaan yang dialami Faisal mungkin perlu mengambil masa beberapa bulan untuk pulih, sekali gus bakal terlepas dua baki aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan depan.