sukan

Piala Sultan Azlan Shah : Keputusan aksi Malaysia berdepan Pakistan

Skuad hoki negara mensia-siakan peluang untuk meraih tiga mata penuh pada aksi pertama Piala Sultan Azlan Shah apabila tewas 4-5 di tangan Pakistan meskipun pada satu ketika berpeluang untuk mencatatkan kemenangan.

Keputusan itu pastinya cukup mengecewakan kem negara yang tampil pada edisi kali ini selaku juara bertahan, namun kehilangan fokus beberapa minit sebelum tamat perlawanan menghukum skuad bimbingan Sarjit Singh.

“Kedua-dua pasukan beraksi dengan baik tetapi apabila anda melakukan kesilapan, anda akan dihukum. Kami sebenarnya ada peluang untuk menang tetapi pemain mula melakukan kesilapan di hujung perlawanan.

“Mereka mula terikut-ikut rentak penonton pada tiga hingga lima minit terakhir perlawanan. Jika pemain beraksi seperti biasa, saya rasa kita akan dapat keputusan sebaliknya,” kata Sarjit pada sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium Hoki Azlan Shah, hari ini.

Pakistan mencetuskan resah buat Speedy Tigers apabila di depan pada minit kesembilan selepas Sufyan Khan menyempurnakan pukulan sudut penalti.Namun skuad negara berjaya menyamakan kedudukan minit ke-13 selepas Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal bijak menampan masuk tolakan Faizal Saari yang sebelum itu menerima hantaran jauh daripada adiknya, Fitri.

Speedy Tigers memperoleh gol kedua, juga menerusi Azrai pada minit ke-28 selepas berlaku situasi kelam kabut dalam kawasan D berpunca daripada pukulan sudut penalti.

Bersambung babak kedua, skuad negara tidak mengendurkan serangan mereka sebaliknya terus memberi tekanan kepada Pakistan sekali gus memberi aura positif kepada Speedy Tigers.

Azrai sekali lagi menemui sentuhan di depan gawang gol apabila melakukan tolakan susulan daripada pukulan sudut penalti minit ke-45.Bagaimanapun hasrat skuad negara untuk meraih tiga mata penuh tidak kesampaian selepas Sufyan serta Zikriya Hayat menyamakan kedudukan untuk Pakistan masing-masing pada minit ke-50 dan 53.

sumber:- BH

Pemain tengah skuad negara, Shello Silverius kembali menghidupkan peluang untuk memungut tiga mata penuh apabila menjaringkan gol padang minit ke-58 tetapi Sufyan mengecewakan kem negara dengan gol penyamaan seminit kemudian sebelum Abu Bakar Mahmood menyempurnakan penalti stroke minit terakhir perlawanan.