sukan

Piala Thomas : Aaron-Wooi Yik tamatkan badi untuk tebus kekalahan Zii Jia

Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghidupkan kembali peluang Malaysia apabila menyamakan kedudukan 1-1 selepas menewaskan pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada aksi separuh akhir Piala Thomas, sebentar tadi.

Dalam pertembungan penuh dramatik di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone, Aaron-Wooi Yik mendiamkan lebih kurang 11,000 penonton tuan rumah apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menang 15-21, 21-12, 21-17 ke atas Wei Keng-Wang Chang dalam tempoh 55 minit.

Selepas tewas set pertama, Aaron-Wooi Yik kembali memperkemaskan permainan mereka untuk mendominasi saingan set kedua sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Set ketiga berlangsung penuh sengit apabila kedua-dua pasangan saling mengejar mata tetapi Aaron-Wooi Yik kekal tenang dan lebih bijak mengatur langkah untuk menoktahkan permainan dengan kemenangan bermakna 21-17.

Keputusan itu menyaksikan bekas juara dunia berkenaan berjaya menamatkan badi kekalahan di tangan Wei Keng-Wang Chang selepas tewas dalam tiga pertemuan terakhir sebelum ini.

sumber:- BH

Kemenangan meletakkan Malaysia kembali bersaing bagi perebutan tiket ke pentas final selepas perseorangan pertama negara, Lee Zii Jia tewas di tangan Shi Yu Qi.