sukan

Zarif Irfan sedia jadi nombor satu

Zarif Irfan Hashimuddin mengakui ketiadaan Izham Tarmizi Roslan memberi lebih peluang buatnya mengisi posisi selaku penjaga gol utama Sri Pahang FC bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024-2025.

Namun, menurut Zarif Irfan, dia tidak boleh berasa selesa dan perlu bekerja keras kerana skuad Tok Gajah memiliki seorang lagi penjaga gol, Azfar Arif Mohd Sukri.

“Memang peluang untuk dipilih selaku penjaga gol utama ada tetapi secara peribadi saya tidak boleh terlalu yakin, sebaliknya akan mempertingkatkan lagi persembahan untuk menyakinkan barisan kejurulatihan.

“Pada masa sama, skuad ini masih memiliki Azfar Arif dan saya difahamkan Sri Pahang akan mendapatkan seorang lagi penjaga gol bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Izham Tarmizi.

“Sebagai pemain, saya perlu lebih bersedia dan sentiasa mengekalkan prestasi jika mahu berada dalam senarai kesebelasan utama Sri Pahang pada musim baharu ini,” kata Zarif Irfan.

Sejak menyarung jersi skuad Tok Gajah pada tahun 2021, Zarif Irfan menjadi pilihan kedua dan musim lalu sering bertukar posisi penjaga gol dengan Izham Tarmizi.

“Oleh itu, pada musim 2024-2025, saya mahu menjadi pilihan utama dan sedia membantu Sri Pahang mencapai kejayaan dengan sokongan daripada rakan sepasukan.

“Dengan barisan pemain lama dan baharu, saya mengharapkan Sri Pahang akan mencapai sasaran menamatkan kedudukan tiga teratas Liga Super musim bahari ini,” katanya.

Kelmarin, Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) mengumumkan secara rasmi Izham Tarmizi yang juga bekas penjaga gol kebangsaan tidak lagi bersama skuad Tok Gajah bagi musim baharu ini.

Izham Tarmizi akan kembali ke pangkuan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas dipinjamkan selama semusim oleh skuad Harimau Selatan itu musim lalu.

sumber:- BH

Sepanjang semusim bersama Sri Pahang, pemain kelahiran Terengganu itu membantu skuad Tok Gajah menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kelima.