sukan

Situasi Malaysia seperti tahun 1992

Skuad Piala Thomas negara akan berdepan China pada perlawanan separuh akhir di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone, China, Sabtu ini.

Dalam aksi suku akhir malam ini, Malaysia menewaskan Jepun 3-1 manakala China yang juga juara 10 kali Piala Thomas menyingkirkan juara bertahan, India dengan kemenangan 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Kali terakhir Malaysia beraksi di separuh akhir ialah pada 2016 di Kunshan dan aksi suku akhir bertemu China pada peringkat kalah mati ketika tumpas 0-3 di Wuhan pada 2012.

Pertembungan Malaysia dengan negara Tembok Besar itu di separuh akhir mengimbau kenangan 1992 apabila skuad negara berjaya mencatat kemenangan 3-2, sebelum menumbangkan Indonesia di final dengan keputusan sama.

Ia adalah kali terakhir Malaysia menikmati kejayaan menjulang trofi berprestij itu sebelum hampir melakukan perkara sama pada 2014 di New Delhi, tetapi tewas 2-3 kepada Jepun.
Dalam aksi suku akhir malam ini, mata pertama negara diraih Lee Zii Jia yang menewaskan Kenta Nishimoto 21-13, 21-3.

Bagaimanapun, kedudukan terikat 1-1 apabila beregu pertama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tumpas kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-18, 14-21, 19-21.

Perseorangan kedua, Leong Jun Hao kembali meletakkan Malaysia di depan selepas menumpaskan Koki Watanabe 21-13, 21-10.

Beregu kedua negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani muncul wira selepas menghadiahkan mata kemenangan apabila menundukkan Akira Koga-Taichi Saito, 18-21, 21-15, 21-12 dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam enam minit.

“Memang berbeza sedikit aksi jika Jun Hao tumpas, tetapi kemenangan yang dicatatkannya memberikan sedikit kelebihan kepada kami sebab mendahului lawan 2-1.

“Tekanan tetap ada, tetapi kemenangan itu boleh kurangkan (tekanan),” kata Sze Fei selepas perlawanan sebentar tadi.

Sementara itu, Izzuddin mengakui kemenangan mereka ke atas Koga-Saito adalah mengikut rentak lawan yang sentiasa ‘enjoy’ dan santai di dalam gelanggang.

sumber:- HM

“Mungkin kita lebih santai dan tenang, kalau mereka juga ‘happy go lucky’, kita pun sama,” kata pemain kelahiran Johor itu.