sukan

Kami yang pilih jalan sukar ini — Faisal Halim

Pemain sayap skuad kebangsaan, Faisal Halim mengakui Harimau Malaya berdepan laluan sukar untuk melepasi saingan Kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Tonggak berusia 26 tahun itu menjelaskan dua aksi terakhir menentang Kyrgyzstan dan Taiwan, bulan depan menjadi perlawanan yang getir buat skuad negara untuk menentukan nasib mereka dalam kempen kelayakan itu.

Dia bagaimanapun berkata, peluang untuk Harimau Malaya tetap ada namun pasukan perlu memberikan aksi terbaik dalam perlawanan itu untuk mendapatkan keputusan yang positif.

“Dua perlawanan terakhir yang penting buat pasukan kebangsaan dan sebelum lapor diri ke skuad kebangsaan, kita ada beberapa perlawanan liga (Liga Malaysia).

“Jadi, saya harap apabila liga sudah bermula, ia sedikit sebanyak dapat membantu pemain. Saya tak boleh janji bulan dan bintang, tapi kita kena buat yang terbaik dan lebih baik.

“Peluang masih terbuka, cuma jalan itu sukar. Kita yang pilih jalan ini, kita yang cipta peluang ini, jadi kita kena jalan dan buat yang terbaik untuk pasukan kebangsaan serta semua rakyat Malaysia,” katanya.

Harimau Malaya akan menentang Kyrgyzstan di gelanggang lawan, 6 Jun depan dengan skuad kendalian Kim Pan Gon wajib memenangi aksi itu untuk membuka peluang ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Skuad negara yang berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan mengumpula enam mata, tiga mata di belakang Kyrgyzstan dan Oman seterusnya akan melayan kunjungan Taiwan pada 11 Jun.

Selain itu, Faisal menganggap gabungan semua pemain mampu untuk membentuk kekuatan Harimau Malaya meskipun sedar tahap yang ada pada pasukan negara ketika ini masih sukar untuk bersaing dengan pasukan lebih besar di peringkat antarabangsa.

“Apa yang saya boleh katakan, pemain akan cuba berikan yang terbaik untuk memberi satu penghargaan kepada rakyat Malaysia. Kami tahu tahap kita ini sukar untuk bertanding di peringkat yang lebih jauh.

“Tetapi saya percaya dengan kualiti yang kita ada, pemain yang kita ada, kita gabung semua pemain dari setiap negeri untuk menjadi satu jiwa pergi berjuang tanpa mengira siapa nak jaringkan gol dan siapa nak jadi pemain terbaik.

sumber:- BH

“Kita hanya nak bawa nama Malaysia di pentas Asia untuk menjadi pasukan terbaik di masa akan datang,” katanya.