sukan

Nafuzi terharu dengan pemain Kedah walaupun dilanda ‘ribut taufan’

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (FC), Nafuzi Zain menganggap kesetiaan yang ditunjukkan pemain ketika berdepan masalah tunggakan gaji musim lalu yang kini sudah diselesaikan, satu pengorbanan yang sukar dibalas.

Menurutnya, pengorbanan pemain itu begitu berharga dan bermakna dalam usahanya membentuk satu keluarga baharu Sang Kenari bagi menghadapi saingan Liga Super, bermula 11 Mei ini.

“Saya berterima kasih kepada pemain yang lama dan pemain import baharu kerana masih setia bersama saya walaupun kami dilanda ‘ribut taufan’ dan berbagai masalah sebelum ini.

“Mereka kekal berdiri teguh dan tetap memberi sokongan terbaik dalam latihan ataupun perlawanan pramusim dan saya gembira serta bersyukur dengan perkembangan yang ditunjukkan ini,” katanya.

Menyentuh mengenai aksi pramusim yang menyaksikan KDA FC menewaskan Penang FC 3-1 di Stadium Darul Aman malam tadi, Nafuzi turut berpuas hati terhadap persiapan pasukan.

Pada aksi itu, Kedah menang 3-1 hasil dua gol penyerang utama Milos Gordic sementara satu gol oleh Habib Haroon.Gol Penang FC pula dijaringkan oleh pemain import Richmond Ankrah.

sumber:- BH

“Dari segi keputusan saya bersyukur kerana mengikut prestasi, saya kira kami bermula dengan agak baik dan meningkatkan lagi keupayaan pada babak kedua mungkin disebabkan Penang bermain dengan hanya 10 orang,” katanya.