Impian besar Indonesia untuk melangkah ke final Piala Asia bawah 23 (B-23) tahun musnah apabila tewas 0-2 kepada Uzbekistan dalam aksi separuh akhir, sebentar tadi.
Uzbekistan lebih menguasai perlawanan yang berlangsung di Stadium Abdullah bin Khalifa, Doha, Qatar, namun gagal menghasilkan sebarang jaringan sepanjang babak pertama.
Sebaliknya, Indonesia mengejutkan juara 2018 itu apabila Muhammad Ferarri berjaya meledak gol pembukaan pada minit ke-61.
Kegembiraan penyokong Indonesia bagaimanapun terhenti apabila jaringan itu dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) yang mana Ramadhan Sananta dikesan berada dalam posisi ofsaid sebelum Muhammad Ferarri meledak gol.
Tambah mengecewakan penyokong skuad Garuda Muda apabila Uzbekistan berjaya membuka tirai jaringan, tujuh minit kemudian selepas Husain Norchaev menyudahkan hantaran Muhammadqodir Hamraliev.
Malang skuad kendalian Shin Tae-yong berterusan apabila Uzbekistan memperoleh jaringan kedua hasil gol sendiri Pratama Arhan ketika perlawanan berbaki empat minit dan kedudukan itu kekal hingga wisel penamat.
sumber:- BH
Peluang Indonesia untuk meraih tiket ke Olimpik Paris 2024 masih terbuka yang mana mereka perlu memenangi aksi penentuan tempat ketiga berdepan sama ada Jepun atau Iraq, Khamis ini. – AGENSI