sukan

Kedah ‘pulun’ Penang FC

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menundukkan Penang FC, 3-1 pada aksi saingan pramusim dan ujian Video Bantuan Pengadil (VAR) di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Empat gol terhasil pada aksi dihadiri hampir 4,000 penyokong KDA FC yang mahu melihat tahap persediaan terkini skuad bimbingan Nafuzi Zain sebelum melangkah ke saingan sebenar Liga Super, pada 11 Mei depan.

Penang FC terlebih dulu berada di depan pada minit ke-13 melalui tandukan pemain import dari Ghana Richmond Ankrah, berpunca dari sepakan bebas diambil pemain pertahanan, Adib Raop.

Pemain tengah KDA FC, Habib Haroon menyamakan kedudukan pada minit ke-26 melalui rembatan yang menewaskan penjaga gol lawan, Shafiq Afifi.Adib menjadi ‘mangsa’ seterusnya VAR apabila dilayangkan kad merah kerana menjatuh pemain sayap Kedah Sukhrob Nurullaev pada minit ke-34 di luar kotak penalti.

Kedudukan terikat 1-1 itu kekal hingga selepas empat minit tambahan di hujung babak pertama.

Pada babak kedua, KDA FC menambah gol kedua melalui sepakan penalti penyerang utama, Milos Gordic pada minit ke-51 yang ditentukan VAR selepas pemain tengah, Fadzrul Danel ditarik oleh pemain Penang FC, Rafael Vitor dalam kotak penalti.

Gordic sekali lagi menceriakan suasana Stadium Darul Aman selepas menambah gol ketiga buat Kedah pada minit ke-65 melalui sepakan jarak dekat yang menewaskan penjaga gol gantian Penang FC, Sikh Izhan.

sumber:- HM

Kemasukan beberapa pemain gantian buat KDA FC seperti Fayadh Zulkifli, Kamil Akmal, Irfan Zakaria, Hasbulah Abu Bakar tidak merubah dengan keputusan muktamad 3-1.