sukan

Selangor FC ambil pendekatan lebih ‘keras’

Selangor FC (SFC) akan mengambil pendekatan lebih ‘keras’ apabila tiada jaminan untuk mana-mana pemain membarisi kesebelasan utama, sebaliknya hanya prestasi akan menjadi penentu.

Pengendalinya, Nidzam Jamil menegaskan ‘sejarah lampau’ tidak cukup sebagai ‘modal’ kerana dia hanya mahukan pemain yang benar-benar berada pada tahap terbaik untuk membawa cabaran ‘The Red Giants’ bagi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bagaimanapun, Nidzam yang juga bekas pemain Selangor mengakui dia berdepan ‘masalah’ ketika ini memandangkan semua pemain menunjukkan komitmen dan prestasi yang baik sepanjang kempen pramusim yang diharungi setakat ini.

“Saya tidak suka berbual mengenai persembahan lampau dan kita tak boleh bercakap mengenai perkara yang sudah lepas. Apa yang penting adalah prestasi semasa pemain.

“Bola sepak adalah hari ini, bukan mengenai semalam. Kalau semua memberikan usaha, kerja keras dan saling mendorong antara satu sama lain, kita akan bersedia untuk bermain,” kata Nidzam.

Terdahulu, SFC memastikan gelaran Cabaran Asia Selangor (SAC) 2024 menjadi milik mereka apabila menamatkan kempen dengan dua kemenangan ke atas DPMM FC dan Young Elephants FC.

Dua kemenangan secara 4-0 berturut-turut itu menyaksikan pasukan itu mengutip 14 mata memandangkan bukan sahaja kemenangan malah setiap gol yang dijaringkan turut menyumbang satu mata.

Mengulas mengenai dua aksi yang diharungi pada kempen SAC 2024, Nidzam mengakui dia berpuas hati dengan persembahan pemain dan input tambahan yang berjaya diperoleh bagi memantapkan lagi pasukan menjelang sepak mula berbaki kurang dua minggu lagi.

“Kalau dalam konteks SAC 2024, saya berpuas hati kerana kita tidak dibolosi kerana bola sepak pada asasnya adalah mempertahankan gol dan kemudiannya kita pergi mendapatkan gol.

sumber:- BH

“Tetapi untuk indikator di liga nanti, kita ada standard yang kita tetapkan. Bukan sahaja di aspek serangan yang perlu ditambah baik malah di bahagian pertahanan juga perlu dilakukan,” katanya.