sukan

Hamidin sedia dicabar

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan beliau sentiasa terbuka jika ada mana-mana tokoh mahu bertanding untuk merebut jawatan itu pada kongres pemilihan badan induk itu yang akan datang.

Beliau yang sudah menerajui FAM bagi penggal kedua sejak 2018 berkata, pihaknya sama sekali tidak boleh lari daripada statut ataupun perlembagaan sekali gus menyaksikan sesiapa sahaja boleh bertanding apabila tiba masanya nanti.

Bagaimanapun, Hamidin yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berpendapat pandangan bekas Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menyatakan sudah tiba masanya untuk peralihan dilakukan dalam FAM sebagai pandangan peribadi semata-mata.

“Itu pandangan beliau (Khairy). Siapa pun boleh bertanding, (FAM) tiada masalah dan saya terbuka kerana ini (kongres pemilihan) mengikut peraturan. Sampai masanya nanti, kita ikut peraturan dan Statut FAM.

“Saya orang yang sangat terbuka dan saya menerima kritikan netizen kerana mana yang baik, saya ambil. Saya tahu banyak kritikan dengan persembahan skuad Bawah 23 tahun (B-23) dan juga surat layang.

“Jadi kita kena terimalah kerana kita pegang jawatan. Apa yang penting kita tak buat salah dan kita buat demi bola sepak negara,” kata Hamidin.Hamidin berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM dan Rumah Terbuka MOM hari ini.

Terdahulu, BH Sukan melaporkan Khairy bersetuju supaya peralihan kepimpinan perlu dilakukan dalam FAM bagi memastikan bola sepak negara terus bergerak dan berkembang lebih pesat untuk masa akan datang.

Namun, Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan menegaskan kepemimpinan sedia ada sudahpun melakukan kerja mereka sepanjang dipilih memegang jawatan dalam badan induk bola sepak negara itu.

Meskipun dikaitkan dengan jawatan nombor satu di FAM, Khairy beranggapan beliau bukanlah calon sesuai untuk memegang jawatan terbabit, sebaliknya mencadangkan tokoh dari dunia korporat wajar dipertimbangkan untuk memikul tanggungjawab itu.

sumber:- BH

Hamidin sebelum ini mengambil alih kepimpinan FAM daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam Kongres Ke-54 ketika pemilihan penggal 2018-2021 FAM pada 14 Julai 2018 dan mengekalkan jawatan itu juga tanpa dicabar bagi penggal 2021-2025 pada tanggal 13 Mac 2021.