sukan

Piala Thomas : Malaysia menang bergaya untuk ke suku akhir

Skuad Piala Thomas negara seperti dijangka mudah untuk mencatat kemenangan mutlak ke atas Algeria pada aksi kedua peringkat Kumpulan D yang berlangsung di Chengdu, China sebentar tadi sekali gus menempah slot ke suku akhir di kejohanan dwi tahunan berkenaan.

Pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia hanya memerlukan 26 minit untuk memperoleh mata pertama negara selepas menewaskan Adel Hamek 21-8, 21-6 sebelum perseorangan kedua, Cheam June Wei turut mudah mengenepikan Youcef Sabri Medel 21-9, 21-14.

Momentum di Gimnasium Pusat Sukan Zon Hi-Tech itu diteruskan beregu lelaki, Choon Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri apabila menghadiahkan mata ketiga negara selepas menewaskan gandingan Sifeddine Larbaoui-Mohamed Abdelaziz Ouchfoun 21-8, 21-3 dalam tempoh 17 minit.

Perseorangan lelaki, Justin Hoh pula menewaskan Mohamed Abderrahime Belarbi yang berada di ranking ke-353 dunia 21-10, 21-14 untuk menghadiahkan mata keempat pasukan sebelum Nur Izzuddin Rumsani yang kali ini digandingkan bersama Soh Wooi Yik memuktamadkan kemenangan 5-0 pasukan dengan mencatat kemenangan ke atas Koceila Mammeri-Youcef Sabri Medel 21-13, 21-9.

Skuad Piala Thomas negara dijadual menutup tirai saingan kumpulan bertemu juara 2016, Denmark pada Selasa ini yang menjadi perlawanan penentuan kepada perebutan gelaran juara kumpulan.

Semalam, Malaysia membuka tirai saingan kumpulan dengan kemenangan 5-0 ke atas Hong Kong manakala Denmark turut mengatasi Algeria dengan keputusan sama.

sumber:- BH

Untuk rekod, pada kempen dua tahun lalu di Bangkok, Malaysia menamatkan saingan di suku akhir apabila tewas di tangan juara edisi berkenaan, India 2-3.