sukan

Komen Ten Hag selepas dikecewakan pasukan tercorot

Erik ten Hag merayu kepada penyokong supaya kekal bersabar selepas Manchester United sekali lagi dibolosi pada lewat permainan berdepan pasukan diancam penyingkiran Burnley apabila seri 1-1 di Old Trafford lewat malam tadi.

Pemain sayap dari Brazil, Antony meletakkan United di depan pada minit ke-79 tetapi pemain gantian Zeki Amdouni menyempurnakan sepakan penalti lapan minit kemudian selepas dikasari Andre Onana.

United, di tangga keenam Liga Perdana Inggeris, kini lebih mengintai kelayakan ke Liga Europa selepas terkeluar daripada persaingan memburu tempat ke Liga Juara-Juara.

Final Piala FA menentang Manchester City bulan depan menawarkan peluang untuk menamatkan kempen buruk tetapi ia mungkin tidak mencukupi buat Ten Hag untuk mengekalkan jawatannya di bawah pemilik baharu bersama INEOS.

Ejekan penyokong mengiringi wisel penamat di Old Trafford. Terdahulu ia lebih kuat apabila Kobbie Mainoo digantikan oleh Scott McTominay sebagai sebahagian daripada pertukaran berganda pada babak kedua yang mana Rasmus Hojlund turut dikeluarkan.

Kebiasaan United mensia-siakan kedudukan mendahului ternyata membawa padah dalam beberapa minggu kebelakangan dan perlawanan malam tadi tidak terkecuali.

Namun Ten Hag mempertahankan penggantian pemainnya dan meminta supaya peminat bersabar, menyatakan beliau perlu mengelak pemain muda daripada mengalami kecederaan.

“Kami mempunyai beberapa pemain yang amat muda dan itulah sebabnya kami membentuk semula skuad ini,” kata pengendali dari Belanda itu. “Ia mengambil masa dan kami membentuk skuad ini dengan membawa masuk pemain muda.

“Rasmus Hojlund, Alejandro Garnacho, Kobbie Mainoo – mereka semuanya dalam musim pertama Liga Perdana dan Liga Perdana semakin sengit tahun demi tahun.

“Kami sudah lihat data dan ia lebih sengit berbanding musim lalu, terutamanya apabila anda melihat empat atau lima musim terakhir. Pemain ini perlu menyesuaikan diri dan ia mengambil masa.”

Ten Hag, yang menang Piala Liga musim ini dalam musim sulungnya bersama kelab itu berkata beliau “memohon maaf kepada setiap orang.”

“Saya seorang yang tidak sabar tetapi kami memerlukan kesabaran dan peminat juga perlu bersabar,” katanya. “Kami membina satu pasukan di sini dan mereka memerlukan pengalaman.

“Mental (pasukan), apabila anda keletihan anda perlu terus fokus sehingga tamat.

“Selain itu, musim ini terdapat kesan tambahan terhadap masa kecederaan (tambahan masa). Selalunya tujuh, lapan, sembilan, 10 minit jadi membawa lebih banyak minit dalam permainan, untuk mengekalkan tempo dalam permainan juga.”

sumber:- BH

Ten Hag percaya faedah susulan musim bergelut itu akan dapat dilihat pada tahun-tahun akan datang. – AFP