sukan

Mangsa kedua kad Merah VAR

Pemain import Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo menjadi mangsa kedua menerima layanan kad merah menerusi semakan bantuan Video Semakan Pengadil (VAR) dalam aksi pramusim menentang Kelantan Darul Naim Football Club (KDN FC) di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu, malam ini.

Perlawanan berkesudahan Sri Pahang menang 1-0 apabila KDN FC yang mendapat sepakan penalti menerusi semakan VAR, gagal menggunakan peluang itu pada babak kedua.

Hidalgo menerima kad merah selepas mengasari pertahanan tuan rumah minit ke-45 perlawanan.

Pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir membuat keputusan itu selepas meneliti monitor VAR pada masa tambahan dengan masa tambahan babak pertama diberikan selama lapan minit.

Penonton di stadium kelihatan teruja dengan penggunaan VAR yang mengesahkan kad merah Hidalgo yang menyaksikan pelawat beraksi dengan 10 pemain selepas rehat.

Pada babak pertama, skuad Tok Gajah mendahului dengan jaringan menerusi Stefano Brundo di minit ke-40.

VAR digunakan pada minit ke-85 bagi mengesahkan sepakan penalti kepada skuad Kiang Emas selepas bola terkena tangan pertahanan Sri Pahang, Adam Nor Azlin.

Bagaimanapun, sepakan penalti itu gagal disempurnakan pemain import KDN FC, Valdumar Agusto apabila bola rembatannya ditepis penjaga gol Sri Pahang, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin.

Sistem VAR aksi malam ini dikendalikan Mohamad Faizudin Ismail dengan dibantu Muhammad Syafiq Ahmad Said dan operator ulang semula, Suresh Jayaraman.

sumber:- HM

Terdahulu, pemain Kuala Lumpur (KL) City FC, Brendan Gan menjadi pemain pertama menerima kad merah menerusi VAR pada aksi Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2024 menentang Negeri Sembilan FC (NSFC), Isnin lalu.