sukan

FAM tunggu Garrido sebelum ambil tindakan susulan

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menunggu laporan daripada pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Juan Torres Garrido sebelum mengambil langkah susulan dalam usaha memperbaiki prestasi pasukan muda negara itu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, laporan yang dikemukakan Garrido itu akan dibentangkan kepada jawatankuasa pasukan kebangsaan, yang dipengerusikan Presiden badan induk bola sepak itu Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Saya tidak boleh mengulas mengenai pasukan itu lagi kerana kami belum menerima sebarang laporan daripada jurulatih. Dia akan menghantar laporannya kepada jawatankuasa pasukan kebangsaan, dan tindakan akan diambil sewajarnya,” katanya.

Mengikut rekod, Malaysia membuat penampilan ketiga di pentas Piala Asia B-23 dengan pencapaian terbaik adalah mara ke suku akhir pada 2018.

Ketika itu, pasukan yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee mara ke suku akhir sebelum tewas kepada jaguh Asia Korea Selatan 1-2.

Pada edisi 2022 menyaksikan Malaysia menghantar pasukan muda di bawah kendalian Brad Maloney, namun pasukan itu gagal melepasi peringkat kumpulan.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Al-Jonoub malam tadi menyaksikan skuad muda negara menutup kempen kumpulan D Piala Asia B-23 Qatar dengan tangan kosong apabila gagal mencatatkan sekurang-kurangnya keputusan seri untuk semua perlawanan diharungi mereka.

Skuad muda negara tewas 1-2 kepada Kuwait menerusi Salman Mohammed dan Talal Al Qaisi manakala gol Malaysia pula disumbangkan Haqimi Azim Rosli.

Berdasarkan kepada semua perlawanan kumpulan D yang diharungi Malaysia menyaksikan skuad muda negara hanya menjaringkan satu gol dengan dibolosi enam gol.

sumber:-HM

Malaysia tewas kepada Uzbekistan 0-2 pada perlawanan pertama kumpulan D sebelum tumpas di tangan Vietnam (0-2) dan semalam dibolosi Kuwait 1-2.