sukan

TERKINI: FAM ambil tanggungjawab kegagalan Malaysia

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara di pentas Piala Asia B-23 2024.

Harimau Malaya B-23 menamatkan kempen di Qatar dengan menduduki tangga tercorot dalam Kumpulan D selepas tewas semua perlawanan berdepan Uzbekistan (0-2), Vietnam (0-2) dan Kuwait (1-2).

Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell menjelaskan beberapa faktor dikenal pasti sebagai punca skuad muda negara pulang tanpa sebarang mata dari kejohanan yang disertai 16 pasukan terbaik Asia itu.

Beliau berkata, aspek kecergasan perlawanan (match fitness) menjadi penyebab utama pemain terbaik bawah 23 tahun yang dikumpulkan dalam skuad berkenaan gagal memberikan saingan terbaik.

“Masalah utama dalam skuad Harimau Malaya B-23 ini ialah kekurangan masa permainan atau jumlah perlawanan yang dimiliki oleh setiap pemain terbaik dalam skuad B-23 yang kita ada ini.

“Jika kita lihat menerusi statistik, tak ramai pemain dalam skuad ini yang mendapat minit permainan bersama kelab masing-masing dalam saingan Liga Super musim lalu.

“Hanya empat pemain empat pemain termasuk penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel dengan 2,250 minit bersama Negeri Sembilan FC, Mukhairi Ajmal dengan 1,684 minit bersama Selangor FC, T Saravanan dengan 1,252 minit bersama Kuala Lumpur City dan Safwan Mazlan dengan 1,063 minit bersama Terengganu FC.

“Selebihnya pemain lain hanya memiliki minit permainan kurang daripada itu dalam saingan Liga Super 2023,” kata O’Donell.

O’Donell memaklumkan, keadaan semasa yang mana Liga Malaysia (Liga M) sedang berehat panjang sejak Januari lalu sementara menantikan musim baharu 2024/25 bermula 10 Mei depan menyumbang kepada kesan lebih teruk terhadap aspek kecergasan perlawanan.

“Ketiga-tiga pasukan dalam Kumpulan D iaitu Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait, liga domestik mereka sedang rancak berjalan dan sebagai perbandingan, kita boleh lihat pemain mereka berada pada tahap kecergasan terbaik sepanjang kempen Piala Asia B-23 2024 ini.

“Sedangkan kita mula berkumpul pada 17 Mac lalu dan pemain yang bersama skuad senior serta beberapa pemain lain hanya menyertai pasukan seminggu kemudian.

“Ditambah pula dengan kebanyakan pasukan kelab ketika itu belum memulakan lagi siri latihan pramusim Liga Super menjadikan pemain-pemain yang datang ke kem latihan pusat skuad B-23 negara ini pada tahap kecergasan yang cukup rendah,” katanya.

Selain itu, O’Donell turut menegaskan bahawa FAM perlu melihat semula kepada penstrukturan pertandingan peringkat bawah umur di negara ini supaya pemain muda mendapat lebih perlawanan kompetitif.

“Menurut Persatuan Kelab-Kelab Eropah (ECA), purata jumlah perlawanan yang perlu dimainkan setiap pasukan remaja kelab di Eropah adalah dalam lingkungan 35 hingga 50 perlawanan setahun.

“Untuk Piala MFL 2023 (pertandingan B-23 kebangsaan), jumlah perlawanan minimum ialah 12 perlawanan dan maksimum 20 perlawanan bagi pasukan yang layak ke final.

“Jika seseorang pemain muda itu bermain dengan pasukan yang berada di kedudukan terbawah, dia hanya akan bermain 12 perlawanan kompetitif secara maksimum di sepanjang musim lalu.

“Piala Presiden 2023 (pertandingan B-20 kebangsaan) pula minimum 13 perlawanan dan maksimum 16 perlawanan, Piala Belia 2023 (pertandingan B-18 kebangsaan) minimum 11 perlawanan dan maksimum 14 perlawanan manakala Liga SupaRimau (pertandingan peringkat akar umbi) dengan minimum 24 perlawanan di sepanjang tahun,” katanya.

sumber:- BH

Bagaimanapun, format pertandingan itu sudah ditambah baik oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan FAM bagi saingan musim 2024 ini dengan setiap pasukan di Piala MFL akan bermain sejumlah 24 perlawanan, Piala Presiden minimum 14 perlawanan dan maksimum 20 perlawanan manakala Piala Belia minimum 16 perlawanan dan maksimum 22 perlawanan semusim.