sukan

Tiga kelab Luar Negara uji Selangor

Penganjuran Cabaran Asia Selangor (SAC) 2024 bakal dijadikan platform terbaik memperkasakan Selangor FC menjelang saingan Liga Super, 10 Mei depan.

Skuad Red Giants yang turut beraksi di peringkat Asia dalam saingan Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) bakal menguji kekuatan tiga kelab serantau di saingan SAC 2024 bermula Jumaat ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, SAC 2024 yang dianjurkan pihaknya bakal memberi peluang anak buah Nidzam Jamil berada tenaga dengan kelab Balestier Khalsa FC dari Singapura; Duli Pengiran Muda Mahkota FC (DPMM FC) dari Brunei dan Young Elephants FC dari Laos.

“Pihak pengurusan berusaha bagi memberikan pendedahan baru kepada pasukan untuk mereka mendapat persiapan pramusim yang baik pada musim ini.

“Kita menjemput pasukan dari negara Asean iaitu Balestier Khalsa FC, DPMM FC dan Young Elephants FC, tiga pasukan yang mempunyai pencapaian yang baik pada musim lalu.

“Di samping itu, SAC juga akan memberi peluang kepada penyokong untuk menyaksikan perlawanan pramusim yang kompetitif dan berkualiti,” katanya.

Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada jam 5 petang dan 9 malam pada Jumaat dan Ahad ini.

Format perlawanan digunakan untuk kejohanan kali ini berbeza daripada edisi pertama di mana setiap kemenangan akan mendapat tiga mata, manakala setiap jaringan gol akan dikira sebagai satu mata tambahan untuk setiap pasukan.

Pasukan yang menduduki tangga teratas carta liga akan menjadi pemenang atau juara kejohanan.

sumber:- HM

Pelbagai aktiviti menarik di luar stadium turut diatur antaranya persembahan dari artis tempatan, bazar Raya, bengkel Raya dan lain-lain akan diadakan sepanjang kejohanan ini khas buat penyokong setia Gergasi Merah.