sukan

Sikap berlembut dan tidak tegas bawa padah

Sikap berlembut dan tidak tegas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap segelintir kelab tempatan dengan mencipta beberapa alasan menyebabkan kekuatan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara di Piala Asia di Qatar terjejas dan terhenti lebih awal.

Tiga pasukan serantau khususnya Indonesia tidak berdepan masalah membariskan sembilan pemain muda biarpun muncul sebagai tonggak utama dalam skuad senior sebelum ini.

Rizky Ridho, Pratama Arhan dan Marselino Ferdinan adalah tiga pemain utama dalam kesebelasan pasukan senior negara itu yang beraksi di Piala Asia Januari lalu, dan khidmat mereka tetap ditagih bagi mengemudi pasukan B-23 negara itu yang cemerlang melepasi peringkat kumpulan dengan menundukkan Australia dan Jordan.

Senario itu amat berbeza dengan skuad negara yang sebelum ini menagih sentuhan bintang bola sepak tempatan, Arif Aiman Hanapi namun tidak dapat disenaraikan kerana dikatakan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sudah berada di kelas tersendiri selain ‘dimainkan’ dengan isu kepenatan.

Ironinya tiga pemain Indonesia juga boleh memberikan alasan kepenatan untuk menolak panggilan skuad Garuda Muda namun ia tidak berlaku.

Sebaliknya Pratama yang sebenarnya berstatus lebih ‘Superstar’ kerana beraksi bersama kelab utama Korea Selatan, Suwon FC tetap mengutamakan semboyan negara berbanding kelab.

Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa, FAM perlu tegas dalam setiap keputusan diambil dengan meletakkan kepentingan negara melebihi segalanya.

Malah ketika saingan liga tempatan masih dalam tempoh pramusim, sepatutnya skuad kendalian Juan Torres Garrido boleh tampil dengan barisan pemain impian untuk mengharungi kempen Piala Asia B-23 itu.

“Betul kehadiran seorang pemain (Arif Aiman) bukannya boleh ubah pasukan 100 peratus…tapi kena ingat juga sebenarnya kehadiran seorang pemain yang dianggap istimewa itu boleh beri nilai tambah atau variasi dalam permainan.

“Kenapa Indonesia boleh buat?. Jawapannya kerana jati diri atau setiap pihak terutama dalam badan induk bola sepak di negara itu cukup tebal dan utuh, serta tidak tunduk dengan mana-mana pengaruh.

“Inilah yang kita kurang dan jadi masalah dalam bola sepak kita selama ini. Pengaruh luar beri kesan dan akhirnya FAM yang akan terima kesannya,” katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu, perjuangan skuad B-23 di pentas Piala Asia berakhir selepas tumbang dalam dua aksi peringkat Kumpulan D kepada Uzbekistan dan Vietnam menerusi kekalahan 0-2.

Kegagalan itu menyaksikan sasaran layak ke suku akhir terkubur sekali gus impian untuk layak ke Sukan Olimpik di Paris pada Julai ini juga tidak kesampaian.

“FAM adalah badan induk bola sepak negara dan sepatutnya mereka melihat secara holistik tentang sumbangan pemain kepada pasukan negara dan nama baik negara.

“Bukan semata-mata hanya kepada sebuah kelab. FAM perlu bersikap adil kepada semua pihak dan jangan bersikap memilih,” kata pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu.

sumber:- HM

Ujarnya lagi, jika badan induk negara itu tidak berubah, beliau tidak terkejut sekiranya ada peminat yang memboikot saingan Liga Malaysia (Liga M) sekali gus boleh memberi impak negatif kepada pihak penaja yang tidak lagi mempercayai ekosistem bola sepak negara ini.