sukan

Penyerang utama Kedah jadi tumpuan

Penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menagih ketajaman penyerang utama dari Serbia, Milos Gordic pada perlawanan pramusim dan Liga Malaysia (Liga M) nanti.

Penyerang berusia 31 tahun dan pernah beraksi bersama kelab Wuxi Wugo FC di China itu sudah melalui dua aksi pramusim bersama Sang Kenari ketika berdepan Terengganu FC (TFC) dan Penang FC pada Kejohanan Empat Penjuru di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Melihat pembentukan pasukan pada musim baharu ini, sentuhan serta ketajaman penyerang itu menjadi tumpuan utama disamping keterujaan diluahkan penyokong setia skuad Sang Kenari itu.

Menurut jurucakap Kelab Penyokong Setia Hijau Kuning (PSHK), Mohd Zahari Che Ros, Gordic memerlukan masa untuk mencari keserasian dengan rakan sepasukan dan masih terlalu awal menilai kemampuannya selepas dua perlawanan.

“Kami lihat Gordic adalah penyerang tidak tamak dan jika ada rakan sepasukan memiliki peluang lebih baik, beliau akan melakukan hantaran untuk mencerahkan peluang Kedah menjaringkan gol.

“Kami berharap persefahaman Gordic dengan rakan sepasukan akan terus meningkat kerana sukar untuk mengharapkan hanya penyerang utama sahaja menjaringkan gol,” katanya.

Dalam aksi di Kejohanan Empat Penjuru itu, KDA FC menewaskan Terengganu II 1-0, seri 1-1 dengan Terengganu FC (TFC) dan tewas 0-3 kepada Penang FC.

sumber:- HM

KDA FC akan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Darul Aman, malam esok.