sukan

Masa Depan Malaysia membimbangkan

Prestasi skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara yang sekali lagi ‘bungkus’ awal pada saingan Piala Asia B-23 2024 sememangnya mendatangkan kebimbangan memandangkan kelompok pemain ini bakal menjadi pelapis untuk skuad Harimau Malaya.

Situasi itu diakui pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Ab Karim yang beranggapan kegagalan skuad bimbingan Juan Torres Garrido itu bakal memberi kesan jangka masa panjang khususnya membabitkan kualiti pemain untuk membarisi skuad senior.

Tegasnya, pemain skuad B-23 ini hanya selangkah untuk menuju ke peringkat senior namun prestasi mereka tampak belum mencapai ke tahap yang terbaik sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kemampuan mereka bagi memperkuat skuad senior pada masa akan datang.

“Semua pihak yang minat bola sepak pasti akan bimbang dengan perkembangan (skuad B-23 pulang awal) ini. Semua akan tertanya apa sudah jadi dengan skuad B-23, jadi kita harus terima ini sebagai satu kegagalan apabila kita sekali lagi tidak berjaya melepasi peringkat kumpulan.

“Kita harus ingat, ini adalah kelompok pemain seterusnya yang akan dipertaruhkan untuk skuad senior jika kita layak beraksi di Piala Asia 2027 nanti.

“Kalau di peringkat B-23 pun, barisan pemain muda kita masih bergelut, jadi apa harapan kita untuk lihat mereka di pentas senior nanti?. Sudah tentu satu lagi kegagalan bakal terjadi,” kata Zulakbal.

Terdahulu, skuad Harimau Muda mengulangi pencapaian edisi 2022 apabila sekali lagi tersingkir seawal peringkat kumpulan pada Piala Asia B-23 2024 selepas tumbang dalam dua perlawanan pertama.

Mereka tewas 0-2 di tangan naib juara 2022, Uzbekistan dan impian mereka untuk bangkit pada aksi kedua berkecai selepas dijinakkan Vietnam 0-2 sekali gus menutup peluang mereka mencari slot ke suku akhir.

Justeru, Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu mengharapkan ada penambahbaikan yang boleh dilakukan semua pemegang taruh bola sepak negara bagi memastikan barisan pelapis negara ini dapat ‘masak’ dan memberi nilai tambah buat skuad senior.

“Kita ada tiga tahun lagi sebelum Piala Asia 2027 jika kita layak jadi banyak lagi kerja yang kita perlu buat. Secara individunya, saya nampak pemain kita boleh cuma mereka gagal bermain sebagai satu pasukan.

sumber:- BH

“Kelemahan yang ada mengatasi kekuatan yang kita ada. Selain itu, kita perlu lihat dari mana pemain ini datang iaitu dari liga kita sendiri. Oleh itu, liga kita perlu jadi bertambah baik supaya pemain kita menjadi bertambah baik juga,” katanya.