sukan

Brendan Gan jadi ‘mangsa’ pertama kad merah VAR

Pemain KL City FC, Brendan Gan menjadi pemain pertama dilayangkan kad merah menerusi semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) pada aksi Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2024 berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC), sebentar tadi.

Pada pertembungan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu, pengadil, Mohammad Zamzaidi Katimin melayangkan kad merah kepada Brendan susulan kekasaran ke atas pemain NSFC apabila meneliti monitor bagi insiden yang tercetus pada minit ke-76 itu.

Sepanjang perlawanan, VAR dikendalikan Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah manakala operator ulang semula adalah Mohd Shahrizan Mohamad Solihim membantu Zamzaidi dalam lima insiden.

Bagaimanapun, penggunaan VAR sepanjang perlawanan menyaksikan perlawanan berlangsung lebih panjang apabila masa tambahan 13 minit untuk babak pertama manakala 10 minit bagi separuh masa kedua.

Insiden pertama berlaku pada minit ke-18 membabitkan kemungkinan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain NSFC namun semakan semula menerusi VAR memutuskan tiada penalti buat KL City FC.

Bagi insiden kedua pada minit ke-33 membabitkan kekasaran pemain NSFC ke atas pemain KL City FC, Zamzaidi merujuk kepada monitor di tepi padang dan selepas meneliti insiden terbabit, dia menghadiahkan sepakan penalti kepada KL City FC.

VAR sekali lagi ‘bertindak’ pada minit ke-39 apabila tidak memberikan sepakan penalti buat pelawat sebelum VAR mengesahkan jaringan Jacque Faye pada minit ke-41 susulan pemain itu dikatakan berada dalam keadaan ofsaid.

VAR ‘campur tangan’ dalam dua lagi insiden pada babak kedua iaitu pada minit ke-63 apabila pemain KL City FC, Lazar Sajcic terselamat daripada layangan kad merah sebelum insiden membabitkan kekasaran Brendan pada minit ke-76.

Selain aksi KL City FC-NSFC, tujuh lagi aksi pramusim turut menggunakan sistem VAR membabitkan tiga perlawanan di Zon Utara, satu lagi perlawanan di Zon Tengah manakala tiga perlawanan di Zon Timur.

sumber:- BH

Sebagai rekod, pertembungan ini dimenangi KL City FC 2-1 hasil jaringan Zhafri Yahya (m22) dan sepakan penalti Paulo Josue (m36) sementara gol NSFC disumbangkan Faye (m41).