sukan

Aksi terpanjang dalam sejarah bola sepak Malaysia

Pertemuan membabitkan Kuala Lumpur City (KL City) FC menentang Negeri Sembilan dalam aksi Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2024 malam tadi menjadi sejarah yang akan diingati apabila menyaksikan masa tambahan terpanjang dalam saingan domestik setakat ini.

Pertembungan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur dimenangi tuan rumah, KL City FC itu menyaksikan sebanyak 13 minit masa tambahan diberikan bagi separuh masa pertama sementara 10 minit lagi bagi babak kedua.

Dengan tambahan masa keseluruhan 23 minit, perlawanan berakhir dengan lebih lewat daripada kebiasaan sekali gus situasi ini memberi gambaran awal terhadap apa yang boleh dijangkakan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) selepas ini.

Tambahan masa yang panjang ini bukanlah sesuatu yang pelik terutama selepas pengadil perlawanan, Mohammad Zamzaidi Katimin mendapatkan rujukan daripada sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) yang pertama kali digunakan bagi musim 2024/25.

VAR digunakan dalam tiga insiden sepanjang babak pertama membabitkan dua situasi kemungkinan penalti selain mengesahkan jaringan pemain NSFC, Jacque Faye selepas pemain itu dikatakan berada dalam keadaan ofsaid.

Dua insiden pada babak kedua turut mendapat ‘bantuan’ dari VAR membabitkan insiden kad merah buat dua pemain KL City FC iaitu Lazar Sajcic dan Brendan Gan.

Bagaimanapun, nasib berbeza dihadapi dua pemain ini apabila Sajcic terselamat daripada layangan kad pada minit ke-63 merah sementara Brendan menjadi pemain pertama dilayangkan kad merah menerusi semakan VAR.

Zamzaidi yang membuat penelitian sendiri menerusi monitor di tepi padang melayangkan kad merah selepas Brendan didapati mengasari pemain NSFC pada minit ke-76.

Namun, situasi terbabit sebenarnya sudah dijangka apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi peringatan awal kemungkinan tempoh setiap perlawanan Liga Super pada musim ini berlangsung lebih panjang berbanding tahun lalu sekali gus penyokong bola sepak jangan cepat melenting atau pelik melihat keadaan itu.

sumber:- HM

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, menjelaskan penggunaan VAR kemungkinan akan menyebabkan tambahan masa sehingga 15 minit atau lebih berdasarkan kepada situasi perlawanan itu apabila pengadil kerap menghentikan aksi bagi merujuk kepada teknologi terbabit.