sukan

Impian Syafiq Ahmad bersama Kedah

Penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Syafiq Ahmad ingin memastikan perjalanan dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini akan menghasilkan sesuatu yang positif dalam kariernya.

Nama Syafiq bersama Sang Kenari tidak asing lagi kerana di situlah dia mula mencipta nama selaku penggempur terbaik di Malaysia dari 2012 hingga 2017 sebelum berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2018.

Pemain berusia 29 tahun itu yang dipinjamkan kali kedua dari JDT berpeluang untuk membuktikan permainan terbaiknya di bawah kendalian Nafuzi Zain bagi musim 2024/2025 dan membantu pasukan mendapatkan keputusan lebih cemerlang.

“Pre Season 4 Penjuru GANU. (Pramusim empat penjuru di Terengganu). Semoga yang terbaik 2024,” tulisnya di Instagram secara ringkas, hari ini.

Ia adalah peluang terbaik bagi Syafiq mendapatkan perhatian ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk berada dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi baki aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piasa Asia 2027, Jun ini.

Pada musim 2022, Syafiq pernah dipinjamkan ke skuad kendalian Aidil Sharin Sahak dan mempamerkan aksi bertenaga dengan meledak beberapa gol serta bantuan gol.

sumber:- HM

Ramai melihat pemain kelahiran Pulau Pinang itu bakal menjadi antara penyerang terbaik dalam pasukan kebangsaan dengan prestasi semasa dipamerkan.