sukan

FAM ambil langkah drastik

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berganding bahu bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi memastikan skuad Harimau Malaya lebih bersedia sebelum aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Jun depan.

Skuad Harimau Malaya mempunyai misi besar iaitu mencatatkan kemenangan dalam dua baki perlawanan Kumpulan D menentang Kyrgyzstan di gelanggang lawan pada 6 Jun sebelum aksi terakhir melayan kunjungan Taiwan di halaman sendiri, 11 Jun.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, semua pihak berkaitan termasuklah MFL peka dengan perlawanan membabitkan Harimau Malaya, sekali gus akan cuba memberi ruang dan peluang kepada pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon melakukan persiapan rapi.

Beliau berkata, keputusan tidak menyebelahi skuad Harimau Malaya apabila tewas dua perlawanan kepada Oman memberi pengajaran bermakna membabitkan persiapan pasukan kebangsaan.

Katanya, setakat ini Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan belum bersidang, namun beliau yakin akan ada perancangan terbaik bakal dilakukan untuk Harimau Malaya.

“Memang menuju ke Jun ini kita perlu berdepan pasukan yang kuat. Walaupun kita pernah mengalahkan Kyrgyzstan, tetapi mereka pasti lebih yakin untuk kalahkan kita di tempat sendiri apabila mereka pernah kalahkan Oman.

“Namun, kita mengharapkan sesuatu berlaku di Kyrgyzstan, tetapi akhirnya terpulang kepada jurulatih untuk menyediakan pasukan terbaik bagi menghadapi perlawanan itu.

“Saya fikir akan ada perbincangan dengan MFL dan MFL pun mungkin tahu benda ini. Saya harap sesuatu dapat dilakukan bagi memberi ruang kepada barisan jurulatih untuk buat persiapan terbaik sebelum ke Kyrgyzstan,” katanya.

Harimau Malaya kini berada di kedudukan ketiga Kumpulan D dengan mengumpul enam mata manakala Kyrgyzstan dan Oman yang berkongsi sembilan mata menghuni dua tangga dua dan Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.

sumber:- HM

Anak buah Pan-gon memulakan kempen kelayakan pada November tahun lalu dengan bergaya apabila menewaskan Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0) sebelum tewas dua kali dengan jaringan 0-2 kepada pasukan di ranking ke-77 dunia, Oman.