sukan

Usah persoal pampasan Lee Zii Jia

Lee Zii Jia menjelaskan bayaran pampasan yang diberikan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk dia menyertai skuad negara ke Piala Thomas adalah berkait dengan hak imejnya selaku pemain profesional.

Team LZJ dalam satu kenyataan, hari ini, berkata keinginan Zii Jia untuk mewakili Malaysia pada saingan Piala Thomas tidak seharusnya dipersoalkan kerana dia sentiasa bersedia menggalas cabaran negara.

Bagaimanapun, katanya, peluang wujud buat kedua-dua pihak untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan hak imej dalam sukan di Malaysia yang dianggap aspek penting bagi atlet profesional.

“Pampasan yang disebut oleh BAM menerusi pengarah pentadbirannya, Michelle Chai adalah berkaitan dengan hak imej.”Zii Jia dan Team LZJ sentiasa bangga dapat berkhidmat untuk negara tetapi kami turut menekankan kepentingan hak imej yang dianggap sebagai nadi kepada atlet profesional yang tidak bernaung dengan persatuan sukan.

“Kami gembira BAM mengiktiraf perkara ini dan memberi sokongan terhadap kehadiran atlet profesional.”Adalah menjadi harapan kami agar kita semua dapat melihat ini sebagai penambahbaikan untuk sukan ini bukan sahaja untuk kami tetapi untuk masa depan atlet profesional yang akan mewakili negara pada masa hadapan.

“Marilah kita semua fokus untuk bekerja keras bagi mencipta sesuatu yang istimewa pada saingan Piala Thomas kali ini,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Michelle mengesahkan Zii Jia akan menerima bayaran pampasan bagi menyarung jersi negara dalam kejohanan utama.

Pemain ranking ke-11 dunia itu akan menerima bayaran untuk setiap perlawanan disertainya sepanjang kempen Piala Thomas di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei ini.

sumber:- BH

Zii Jia adalah pemain yang ditaja oleh Victor iaitu pesaing kepada Yonex yang menjadi salah satu penaja utama kepada BAM.