sukan

KDA FC sebenarnya bebas

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini boleh menarik nafas lega apabila bebas dari sebarang sekatan pendaftaran pemain baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) untuk musim 2024/2025 yang akan bermula Mei depan.

Persoalan mengenai status pendaftaran pemain baharu KDA FC timbul susulan berita dari laman media sosial Asean Football pada 4 Mac lalu yang menyenaraikan KDA FC sebagai antara kelab dikenakan sekatan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk mendaftar pemain baharu pada musim ini.

Menurut kenyataan rasmi Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin, berlaku masalah teknikal dalam proses penyelesaian membabitkan tuntutan bekas pemain import Kedah pada musim 2020 dan 2021 berkaitan rekod cukai pendapatan tertunggak pemain berkenaan (pihak yang menuntut) bagi tahun itu mengakibatkan KDA FC dikenakan hukuman oleh FIFA.

Bagaimanapun, KDA mengesahkan, satu kaedah persetujuan berjaya dicapai oleh pihaknya hari ini yang mana tuntutan dari pihak yang menuntut sudah diselesaikan.

“Status sekatan perpindahan ini akan ditarik balik selepas FIFA menerima maklumat terkini penyelesaian dari pihak menuntut bagi menarik balik sekatan dałam masa terdekat dan seterusnya KDA FC bebas membuat pendaftaran pemain baharu musim 2024/25.

“Walaupun beberapa proses rundingan diadakan, berlaku masalah teknikal penyelesaian yang mengakibatkan KDA FC dikenakan hukuman oleh FIFA, walhal pemain itu bebas sepenuhnya dari arahan sekatan perjalanan untuk perjalanan ke luar Malaysia.

“Isu teknikal ini telah diambil maklum oleh pihak FAM serta MFL yang disedari dari awal lagi, dan di pihak pengurusan kelab telah mengikuti dengan sewajarnya nasihat serta beberapa siri perbincangan yang diadakan bersama pihak yang terlibat,” katanya.