sukan

FAM perlu rehatkan Setiausaha Agungnya

Pemerhati bola sepak tempatan, Hasnizam Uzir menyarankan agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merehatkan Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman buat sementara waktu.

Katanya, tindakan berkenaan bagi memastikan siasatan terhadap dakwaan dalam ‘surat layang’ yang tular di media sosial baru-baru ini dapat dijalankan secara telus dan tanpa sebarang campur tangan.

Bekas pemain bola sepak kebangsaan itu berkata, sekiranya terbukti bahawa dakwaan salah laku tidak dilakukan oleh Noor Azman maka beliau boleh kembali berkhidmat di FAM seperti sebelumnya.

“Pujian harus diberikan kepada FAM kerana telah menumbuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat salah laku Setiausaha Agung yang dikhabarkan dalam ‘surat layang’ tersebar luas sebelum ini.

“Tetapi saya ingin melihat FAM memberi nasihat kepada Setiausaha Agung untuk berehat seketika, di mana tanggungjawab itu boleh diserahkan kepada Penolong Setiausaha Agung FAM (Rosman Ibrahim).

“Ketika ini biarlah Setiausaha Agung berehat, siasatan berjalan dan sekiranya tiada salah laku dilakukan oleh beliau kembalilah berkhidmat di dalam FAM.

“Tindakan ini akan menunjukkan siasatan lebih telus, bertanggungjawab dan menggambarkan bahawa FAM benar-benar ingin membuktikan bahawa tidak ada salah laku yang berlaku,”katanya.

Terdahulu, tular di media sosial ‘surat layang’ yang membangkitkan isu penyalahgunaan kuasa oleh setiausaha agung FAM, gaji serta manfaat staf, isu membabitkan skuad Harimau Malaya dan projek Pusat Latihan Kebangsaan.

Susulan aduan orang ramai, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki turut mengesahkan pihaknya telah memulakan siasatan terhadap FAM serta mengambil beberapa fail dari Wisma FAM di Kelana Jaya.-UTUSAN