sukan

Selawat 1000 kali setiap hari

Bertadarus dan bersedekah antara amalan yang kerap dilakukan sepanjang bulan Ramadan ini namun ia agak berbeza buat tonggak pertahanan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Hariz Mansor.

Menurut Hariz, dia mengamalkan selawat 1000 kali setiap hari di awal bulan Ramadan ini yang dilakukannya selepas bersahur.

Katanya, amalan itu memberi kesan yang cukup mendalam di mana dia tampil lebih tenang dan segala perkara dilakukan setiap hari dipermudahkan oleh Ilahi.

“Saya mula buat amalan ini selepas dengar ceramah agama tentang kebaikan dan keberkatan apabila kita berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad sebanyak 1000 kali.

“Saya buat selepas sahur dan selepas selesai selawat 1000 kali, saya lebih tenang. Bukan saya nak riak, tapi itulah amalan yang saya buat pada awal Ramadan ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Hariz, 22, adalah produk awal daripada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) sebelum diserapkan ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan beraksi bersama penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin.

Memiliki fizikal yang ideal sebagai seorang pertahanan, Hariz dilabel antara tonggak pertahanan masa depan negara yang mempunyai prospek cerah untuk muncul sebagai pemain utama skuad Harimau Malaya suatu hari ini.

Kelebihan utama anak jati Kelantan ini adalah kebijaksanaan dalam membaca dan mematahkan pergerakan lawan di samping cukup tenang mengemudi tembok pertahanan.

Mengulas mengenai persiapan pramusim bersama Kuching City musim ini, Hariz akui pasukan mempunyai peluang cerah untuk mencabar pesaing lain musim ini.

“Tahun ini kelab membawa masuk ramai pemain yang baik seperti Jordan Mintah, Kipre Tchetche dan beberapa pemain berpengalaman lain.

“Pemain pun sudah mula mendapat keserasian di bawah kendalian jurulatih Aidil Sharin Sahak yang memberi peluang kepada kami semua untuk tunjukkan potensi masing-masing.

“Saya yakin pasukan kali ini ada peluang untuk beri saingan dengan pasukan-pasukan dalam Liga Super musim ini,” kata bekas pemain Kedah Darul Aman FC itu.

Untuk rekod, Hariz sebelum ini pernah membantu skuad Harimau Muda di saingan Piala AFF B-23 di Thailand tahun lalu yang menyaksikan pasukan negara terkandas di separuh akhir.

sumber:- HM

Begitupun hasrat untuk bersama skuad B-23 ke Piala Asia B-23 di Qatar ketika ini tidak kesampaian apabila namanya sekadar dalam senarai menunggu dan menganggap bukan rezeki buatnya.