sukan

BAM panggil June Wei

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memanggil pemain perseorangan lelaki profesional, Cheam June Wei bagi menjalani pemilihan untuk menghadapi saingan Piala Thomas di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei ini.

Langkah itu diambil bagi membolehkan badan induk berkenaan mempunyai banyak pilihan dalam usaha menyenaraikan pasukan terkuat untuk menggalas cabaran di Chengdu.

Skuad negara ketika ini berdepan situasi tidak menentu membabitkan acara perseorangan lelaki selepas Ng Tze Yong masih belum pulih daripada kecederaan belakang manakala seorang lagi pemain profesional, Lee Zii Jia belum buat keputusan untuk beraksi di Chengdu.

Jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Tey Seu Bock, berkata June Wei mula berlatih dengan kem skuad kebangsaan, hari ini dan akan melalui proses penilaian prestasi sebelum senarai akhir pemain diputuskan pada 13 April ini.

“Sudah tentu (June Wei), senarai pemain belum 100 peratus lagi. Kita akan senaraikan pemain perseorangan terbaik dan bukan untuk pendedahan,” katanya.

Dalam pada itu, Seu Bock berkata, Tze Yong memerlukan masa sekurang-kurangnya enam minggu untuk kembali cergas sepenuhnya selepas menjalani pembedahan kecil pada Februari lalu.

Katanya, perkara paling penting buat pemain ranking ke-18 dunia itu adalah untuk mengatasi perasaan trauma.

“Bagi saya tahap trauma Tze Yong lebih teruk daripada Datuk Lee Chong Wei dulu. Ini disebabkan kekuatan fizikal antara kedua-dua pemain itu berbeza. Chong Wei kuat manakala Tze Yong sebaliknya,” kata Seu Bock.

Tze Yong, 23, mengalami kecederaan belakang pada saingan Terbuka Malaysia, Januari lalu, sekali lagi mengalami kesakitan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) pada Februari sehingga menjalani pembedahan, sekali gus memaksanya akur terlepas tiket ke Paris 2024.

sumber:- BH

Pada saingan Piala Thomas kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.