sukan

Keputusan Aksi Skuad B-23 berdepan China

Nasib tidak menyebelahi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara selepas tumbang 1-2 kepada China pada aksi persahabatan tertutup di Universiti Qatar, Doha, malam tadi.

Pada pertembungan itu, China memecah kebuntuan selepas Aifeierding Aisikaer menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-26 sebelum skuad B-23 negara bimbingan Juan Torres Garrido bangkit mengikat kedudukan menerusi Fergus Tierney pada minit ke-61.

Namun, tuah sekali lagi memihak China apabila dihadiahkan sepakan penalti yang menyaksikan Aisikaer tenang menyumbat gol peribadi keduanya pada minit ke-85 untuk mengesahkan kemenangan.

Sebagai rekod, ini kekalahan kedua dicatat skuad Garrido dalam tiga aksi persahabatan bertemu skuad B-23 China sejak tahun lalu selepas menang 1-0 dan tewas 1-2 dalam pertembungan di Shanghai, Disember lalu.

Skuad Harimau Malaya B-23 yang berada dalam rangka persiapan menghadapi saingan Piala Asia B-23 di Qatar dari 15 April sehingga 3 Mei ini, akan bermain aksi pemanas badan terakhir menentang tuan rumah dalam satu lagi aksi persahabatan tertutup, Ahad ini.

Pada kempen Piala Asia B-23, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D akan membuka saingan menentang Uzbekistan pada 17 April diikuti Vietnam (20 April) dan Kuwait (23 April) dengan misi untuk mara sekurang-kurangnya ke suku akhir.

sumber:- BH

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir dan berpeluang meneruskan cabaran merebut tiga slot automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 manakala pasukan keempat terbaik kejohanan akan bermain perlawanan play-off bertemu Guinea di Paris Mei ini. – BERNAMA