sukan

Konsert lagi di SNBJ

Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) boleh dikatakan tidak sempat untuk berehat panjang apabila venue terbabit akan ‘dikerah’ dalam tempoh dua bulan mendatang dalam tiga aksi besar.

Menerusi satu kenyataan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), SNBJ bakal menjadi gelanggang bagi aksi Battle Of The Reds yang bakal menemukan legenda Manchester United dan Liverpool.

Perlawanan itu dijadualkan berlangsung pada 8.45 malam 27 April 2024 yang bakal menampilkan beberapa watak hebat seperti Mikael Silvestre, Wes Brown, Emile Heskey, Luis Garcia dan bintang bola sepak lain.

Penganjuran aktiviti tidak hanya terhenti di situ saja apabila venue itu mungkin akan diserikan lagi dengan konsert Harris Jayaraj.

Namun pihak PSM memberi jaminan keadaan padang tidak akan digunakan sepenuhnya ketika konsert berlangsung.”Konsert Harris Jayaraj yang akan berlangsung di SNBJ pada 25 Mei 2024 tidak akan melibatkan kawasan padang langsung dan hanya terhad di kawasan trek,” menurut kenyataan PSM.

Selain itu, PSM memberi jaminan tiada sebarang aksi atau aktiviti yang bakal berlangsung selepas konsert itu hinggalah kepada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Taiwan.

“Selain perlawanan ‘Battle of the Reds’ di antara Manchester United Legends vs Liverpool Legends pada 27 April 2024, tiada apa-apa program yang melibatkan padang akan diadakan sehingga perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia di antara Malaysia dan Taiwan pada 11 Jun 2024,” jelas PSM.

sumber:- HM

Berikutan itu, pengurusan venue terbabit memiliki baki kurang tiga minggu untuk memastikan padang berada dalam keadaan bersedia bagi aksi Manchester United dan Liverpool.