Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak boleh mempercepatkan saingan Liga Malaysia (Liga M) seperti diminta pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon sebelum dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 berdepan Oman, hujung bulan lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Stuart Ramalingam senada dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin apabila menyatakan perancangan bagi musim 2024/25 akan ‘kacau’ jika permintaan Pan Gon itu ditunaikan.
Jelasnya, badan pengendali liga itu sememangnya sentiasa memberi keutamaan demi kepentingan skuad Harimau Malaya namun permintaan untuk melangsungkan Liga M lebih cepat berbanding tarikh asal pada Mei sememangnya tidak dapat dilaksanakan.
“Saya rasa perkara itu (permintaan Pan Gon untuk mempercepat Liga M) sudah dijawab oleh Presiden FAM dan semua tahu, kita umumkan tarikh ini pada pada bulan enam tahun lalu.
“Impak kepada hanya memulakan liga untuk 25 pemain kebangsaan adalah pergerakan beratus pemain dan kos kepada pasukan. Pasukan pun sudah ada rungutan kerana tarikh Liga M yang sedikit lewat disebabkan kalendar yang agak panjang.
“Kita bukan baru putuskan untuk pergerakan unit ini pada hujung musim lalu dan kita teruskan pergerakan ini disebabkan kalendar Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang berubah.
“Saya rasa Datuk Hamidin sudah menjawap mengenai perkara ini jadi saya tidak perlu ulas dengan lebih lanjut,” kata Stuart.
Terdahulu, media melaporkan ketika ditanya mengenai permintaan Pan Gon supaya saingan Liga M diawalkan berbanding Mei, Hamidin menjelaskan harapan itu tidak dapat ditunaikan kerana tindakan terbabit mampu merencatkan segala persediaan yang dilakukan MFL.
Berdasarkan Peraturan Status dan Perpindahan Pemain FIFA; Lampiran 1: Bahagian Pelepasan Pemain Kepada Pasukan Kebangsaan Perkara 6 antaranya menyatakan bahawa adalah tidak wajib untuk melepaskan pemain di luar kalendar perlawanan antarabangsa.
Menjelang pertemuan dengan Oman bulan lalu, sebahagian daripada keseluruhan 33 pemain negara melapor diri ke kem latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya yang bermula 8 Mac, lewat kira-kira seminggu disebabkan komitmen bersama kelab masing-masing.
sumber:- BH
Ketiadaan aksi kompetitif menyaksikan anak buah Pan Gon tidak memiliki ‘match fitness’ pada tahap terbaik sekali gus menjadi antara punca skuad negara tumbang 0-2 masing-masing di Muscat dan juga di laman sendiri.