sukan

Serah kepada SPRM

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menyarankan pihak yang mendakwa berlakunya rasuah dan salah guna kuasa babitkan pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kata bekas pemain skuad Harimau Malaya itu, terdapat banyak saluran yang betul boleh dilakukan berbanding memilih disebarkan kepada media selain menularkan perkara terbabit di laman sosial.

“Saya rasa sekiranya betul dakwaan tersebut seharusnya perkara ini disiasat dengan pengadu membuat laporan rasmi serta menyertakan segala bukti-bukti.

“Sekiranya ada bukti serah sahaja kes kepada SPRM atau polis supaya siasat lebih rapi dapat dilakukan pihak berwajib, lagi cepat lagi bagus. “Sebenarnya banyak ruang yang boleh digunakan untuk membuat sebarang laporan berkenaan,” katanya.

Semalam, beberapa organisasi media arus perdana menerima email daripada pengirim yang tidak dikenali membangkitkan isu berkaitan kepimpinan dan pengurusan FAM.

Dalam email itu, pihak pengirim mendakwa wujud elemen rasuah dan tatakelola yang tidak betul hingga memaksa ramai kakitangan meletakkan jawatan kerana tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan.

Malah, rasa ketidak puasan hati itu dilaporkan turut dipendam pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang didakwa bersedia meninggalkan kem pasukan kebangsaan jika khidmat mereka tidak diperlukan lagi pada masa akan datang.

Difahamkan, barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya itu sudah menghantar surat kepada FAM yang ditunjukkan kepada wartawan.

Bagaimanapun segala dakwaan itu ditepis Pan-gon yang menyatakan akan terus kekal sebagai pengendali skuad kebangsaan dan cuba membawa Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selain menempah slot automatik ke Piala Asia 2027 nanti.

sumber:- HM

Pan-gon menerusi kenyataan medianya memaklumkan bahawa beliau juga tidak menghantar surat yang mengatakan sedia untuk meninggalkan pasukan negara sekiranya khidmatnya sudah tidak diperlukan.