sukan

Brendan Gan luah kekecewaan

Bekas kapten Selangor FC (SFC), Brendan Gan mendedahkan dia mahu terus kekal bersama ‘The Red Giants’ bagi musim 2024 namun tidak diberi ruang oleh pengurusan untuk berbincang mengenai masa depannya bersama pasukan itu.

Menerusi satu hantaran di laman Instagramnya, pemain berusia 36 tahun itu berkongsi rasa kekecewaannya selepas terpaksa meninggalkan pasukan yang banyak mencipta kenangan indah buat dirinya menerusi pencapaian berpasukan serta individu.

“Kehidupan bola sepak tidak boleh dijangka, penuh dengan pengorbanan dan situasi tidak menentu. Tetapi ia menakjubkan, menggembirakan, penuh cabaran dan juga peluang.

“Saya mengimbau kembali perjalanan saya dan kejayaan saya bersama SFC dan ia mengecewakan saya apabila saya terpaksa meninggalkan pasukan ini.

“Pada penghujung musim ini, saya mengharapkan dapat diberi peluang untuk membincangkan masa depan saya bersama SFC sekali gus meneruskan lagi kejayaan pada musim 2024

“Sayangnya, pengurusan SFC tidak memberikan saya ruang bagi membincangkan ataupun berunding untuk saya kekal bersama pasukan ini,” kata Brendan.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan itu turut mengucapkan selamat maju jaya kepada skuad ‘Gergasi Merah’ dan juga rakan sepasukan yang berjuang bersama dengannya selama ini.

“Terima kasih kepada rakan sepasukan yang menjadi saudara kepada saya, selamat maju jaya kepada anda semua. Terima kasih juga pada kakitangan belakang tabir serta barisan kejurulatihan, tidak lupa juga kepada pasukan media.

“Terima kasih kepada penyokong SFC yang sentiasa setia dan saya mengharapkan anda semua kekal positif sebagai pemain ke-12.

sumber:- BH

“Satu penghormatan untuk saya mengetuai pasukan ini dan saya doakan SFC akan beroleh lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya.