sukan

Luahan Kim Pan Gon

Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan Gon enggan mengulas mengenai keadaan padang Stadium Nasional, Bukit Jalil selepas tewas kepada Oman 0-2,malam tadi.

Sebaliknya, pengendali dari Korea Selatan itu memohon maaf kepada seluruh penyokong Harimau Malaya susulan kekalahan kedua berturut-turut dalam Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2026/Piala Asia 2027.

“Saya boleh bercakap (mengenai padang), tetapi lebih baik saya tidak ulas. Ini perlawanan yang sangat sukar,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

“Pertama, saya sebagai ketua, sebagai jurulatih, mohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana kami tidak dapat beri anda kebanggaan, maksud saya keputusan yang lebih baik.

“Kami hargai usaha penyokong yang datang menyokong pasukan. Pemain berdepan situasi yang sangat sukar. Mereka memberikan komitmen tinggi dan saya sangat menghargai mereka.”

Malaysia yang turut tewas 0-2 kepada Oman di Muscat, Jumaat lalu berada dalam situasi sukar untuk melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih tiket awal ke Piala Asia 2027.

Harimau Malaya kini berada di kedudukan ketiga Kumpulan D dengan mengumpul enam mata selepas mengharungi empat perlawanan.

sumber:- BH

Kyrgyzstan yang membelasah Taiwan 5-1 naik kedudukan teratas dan berkongsi sembilan mata bersama Oman yang menghuni tangga kedua.