sukan

Kelayakan Piala Dunia: Keputusan Aksi Korea Selatan lawan Thailand

Korea Selatan semakin hampir menempah tempat dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia FIFA 2026 dan Piala Asia AFC Arab Saudi 2027 apabila Lee Jae-sung, Son Heung-min dan Park Jin-seop menjaringkan gol yang memastikan pasukan meraih kemenangan 3-0 ke atas Thailand, malam tadi.

Kemenangan di Stadium Rajamangala, Bangkok itu menjadikan Korea Selatan yang di bawah jurulatih sementara Hwang Sun-hong, memperoleh 10 mata daripada empat perlawanan dan bermakna seri dalam pertemuan mereka dengan tuan rumah Singapura pada 6 Jun ini akan mengesahkan kemaraan mereka dari Kumpulan C.

Keputusan itu meletakkan Thailand di tempat ketiga dalam kedudukan, tiga mata di belakang China yang meraih kemenangan 4-1 ke atas Singapura.

Percubaan kapten Korea, Heung-min yang juga penyerang Tottenham Hotspur pada awal permainan berjaya dinafikan Suphan Thongsong namun pasukan pelawat berjaya menebus kekecewaan menerusi Lee Jae-sung pada minit ke-19.

Korea terus mengasak kubu lawan pada babak kedua sebelum menemui jaringan kedua menerusi Heung-min pada minit ke-54 hasil sebelum Jin-seop memuktamadkan kemenangan Korea pada minit ke-82 untuk meletakkan mereka berada dalam kedudukan selesa menjelang aksi seterusnya bertemu Singapura nanti.

Dalam pada itu di Hanoi, Indonesia berjaya menjinakkan tuan rumah Vietnam 3-0 di Stadium My Dinh untuk melakar kemenangan sulung mereka di laman sendiri lawan sejak 2004 berterima kasih kepada persembahan permainan menakjubkan dipamerkan pemain di bawah kendalian Shin Tae-yong.

Jay Idzes membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan perlawanan namun Vietnam yang tersentak dengan jaringan berkenaan mula mengatur langkah untuk memburu gol penyamaan menerusi tandukan Nguyen Tien Linh namun ia berjaya ditampan Ernando Ari.

Skuad Garuda menggandakan jaringan pada minit ke-23 menerusi Ragnar Oratmangoen yang berjaya membolosi empat pemain Vietnam sebelum pasukan sekali lagi berjaya meledak jaringan menerusi Ramadhan Sananta pada minit ke-98.

Indonesia dijadual bertemu Iraq yang sudah pun melayakkan diri di laman sendiri pada 6 Jun ini manakala Vietnam perlu menunjukkan kebangkitan apabila melayan kunjungan Filipina pada tarikh yang sama.

Di Tianjin, China, Branko Ivankovic menjamin kemenangan pertamanya sebagai ketua jurulatih China apabila menewaskan Singapura 4-1 dalam aksi kedua Kumpulan C.

Wu Lei meledak dua gol peribadi dalam perlawanan berkenaan, masing-masing pada minit ke-21 dan 85 manakala Fernandinho berjaya melunaskan sepakan penalti pada minit ke-65.

Gol saguhati Singpura dijaringkan Faris Ramli pada minit ke-22.

Satu lagi gol pasukan tuan rumah dijaringkan Wei Shihao pada minit ke-90 untuk membenarkan mereka meraih kemenangan kedua dalam Kumpulan C.

sumber:- BH

China dijadual bertemu Thailand di laman sendiri pada Jun manakala Singapura yang masih belum merasai detik kemenangan bakal melayan kunjungan Korea Selatan selepas ini. – Agensi

Info

Keputusan

Vietnam 0 Indonesia 3

China 4 Singapura 1

Thailand 0 Korea Selatan 3