Pemain tengah skuad kebangsaan, Paulo Josue enggan mencipta pelbagai alasan selepas Harimau Malaya tewas 0-2 kepada Oman dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Sebaliknya, pemain berusia 35 tahun itu menegaskan bahawa perkara paling penting adalah memastikan Harimau Malaya boleh kembali bangkit dalam baki dua perlawanan kelayakan dalam Kumpulan D, Jun depan.
Katanya, peluang buat skuad kendalian Kim Pan Gon itu masih terbuka meskipun mereka dilihat berdepan laluan sukar untuk melangkah ke peringkat seterusnya.
“Sudah tentu kami kecewa dengan kekalahan ini, namun semuanya belum berakhir. Kami masih ada peluang dalam dua perlawanan selepas ini menentang Kyrgyzstan di tempat lawan dan Taiwan di Bukit Jalil.
“Ini bukan masa untuk mencari alasan, tetapi jika kita tiada perlawanan dan kurang kecergasan, ia menjadi perkara yang sukar kepada pasukan.
“Namun, ini saja yang kami ada sekarang, kembali ke dalam liga, kembali berlatih bersama kelab dan cuba bangkit semula dengan segera,” katanya.
Kekalahan di Stadium Nasional, semalam adalah kekalahan kedua berturut-turut yang dialami skuad negara kepada Oman dalam kempen kelayakan kali ini selepas Harimau Malaya turut tewas dengan jaringan sama di Muscat, Jumaat lalu.
sumber:- BH
Keputusan itu menyaksikan Harimau Malaya berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan mengumpul enam mata, tiga mata di belakang Kyrgyzstan dan Oman yang terikat sembilan mata dan menghuni dua kedudukan teratas.