Bekas pengerusi Persatuan Bolasepak China (CFA), Chen Xuyuan dihukum penjara seumur hidup kerana menerima rasuah sehingga AS$11 juta (RM51.92 juta).
Xuyuan menggunakan kedudukannya di CFA dan badan lain untuk menerima secara salah bayaran mencecah nilai berkenaan.
Xuyuan, yang menjadi pengerusi CFA pada tahun 2019, membuat pengakuan dalam satu dokumentari televisyen yang dia menerima rasuah.
Presiden China, Xi Jinping adalah seorang peminat bola sepak yang mahu negaranya menjadi tuan rumah dan memenangi Piala Dunia suatu hari nanti.
Sejak menjadi presiden sedekad lalu, Jinping memerangi amalan rasuah dalam industri bola sepak China.Sekitar 10 pemimpin senior dan eksekutif CFA ditangkap sejak beberapa tahun lalu, termasuk Xuyuan.
Keputusan untuk empat lagi kes rasuah besar dijangka akan diumumkan hari ini. Ia termasuk kes bekas pengendali pasukan kebangsaan, Li Tie, yang rapat dengan Xuyuan.
Bekas pemain tengah Everton itu turut mengaku dia mengatur bayaran rasuah bernilai AS$421,000 (RM1.99 juta) untuk mendapatkan jawatan itu dan membantu mengatur perlawanan sebagai jurulatih kelab.
Sementara itu, pemain Korea Selatan, Son Jun-ho yang ditahan pihak berkuasa China pada Mei lalu kerana disyaki menerima rasuah, dibebaskan dan sudah kembali ke negara asalnya.
Jun-ho bermain untuk kelab Liga Super China, Shandong Taishan sejak tahun 2021 dan turut mewakili Korea Selatan di Piala Dunia Qatar.
sumber:- BH
Korea Selatan akan bertemu Thailand dalam aksi Kelayakan Piala Dunia di Bangkok malam ini. – AFP