Datuk Hans Isaac digesa meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) susulan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang rosak buat kali ketiga.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut mendakwa Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu gagal dalam tugasnya.
“Dia (Hans) tak jalankan tugasnya dengan baik untuk negara (yang) melibatkan imej dan profesionalisme pengurusan aset stadium kita.
“Ini memberi kesan kepada pasukan, rakyat (dan) cukai negara. (Kejadian padang SNBJ rosak) ini kali ketiga.”Bukan pertama kali (tapi) kali ketiga. Cukuplah Hans Isaac. Kalau dia tahu malu, letak jawatan,” katanya pada sidang medianya di Pusat Media Parlimen hari ini.
Terdahulu, isu padang SNBJ terus hangat diperkatakan susulan tersebarnya video dan gambar permukaan padang yang ‘rosak’ ekoran penganjuran konsert Ed Sheeran pada 24 Februari lalu.
Malah isu sama turut berlaku pada November lalu apabila PSM membenarkan konsert Coldplay dianjurkan di atas padang SNBJ sekali gus permukaan padang rosak sedangkan ia adalah rumput baharu jenis Zeon Zoysia yang ditaja oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden pula menyifatkan insiden padang SNBJ dilihat memalukan negara kerana perlawanan membabitkan Malaysia dan Oman malam ini bertaraf antarabangsa.
“Kita punya perlawanan bertaraf antarabangsa tetapi padang bertaraf kampung kerana kita tidak dapat menguruskannya dengan baik.
“Kita juga khuatir ‘mood’ pasukan atau pemain kita ini terjejas (kerana) nak bermain atas rumput yang tidak begitu elok,” katanya.
sumber:- HM
Menurutnya, usaha serius perlu diambil perhatian oleh PSM bagi menoktahkan kerosakan padang SNBJ dan ia perlu menjadi agenda Kerajaan Madani hari ini.