sukan

Dani Alves akhirnya keluar penjara

Pesalah kes rogol dan bekas pemain Brazil, Dani Alves meninggalkan penjara di Barcelona selepas membayar ikat jamin 1 juta euro (RM512 juta) ditetapkan mahkamah sementara menunggu proses rayuan.

Bekas pemain berusia 40 tahun itu berada dalam penjara sejak penangkapannya pada Januari 2023 atas dakwaan merogol seorang wanita muda di Barcelona pada 31 Disember 2022.

Alves tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika meninggalkan penjara Brians 2 di San Esteban Sasroviras dekat Barcelona. Dia diiringi peguamnya, Ines Guardiola.

Dia terus memasuki kereta putih tanpa menghiraukan kumpulan wartawan dan penunjuk perasaan yang berkumpul berhampiran pintu penjara berkenaan.

Bekas pemain Barcelona itu dijatuhi hukuman penjara empat tahun setengah bulan lalu, dan pasukan peguamnya segera meneruskan proses rayuan.

Namun Rabu lalu, mahkamah membuat tindakan luar jangka apabila bersetuju untuk membebaskan Alves secara bersyarat jika dia membayar ikat jamin berkenaan, menyerahkan pasport Sepanyol dan Brazilnya, kekal di Sepanyol serta melaporkan diri di mahkamah setiap minggu.

Alves cuba mendapatkan ikat jamin beberapa kali sejak ditangkap tetapi percubaannya tidak berhasil kerana dibimbangi dia akan pulang ke Brazil – negara yang tidak membenarkan warganya diekstradisi untuk hukuman di negara lain.

Ketika barisan peguam belanya sedang cuba membuktikan dia tidak bersalah dan dibebaskan – proses yang mungkin akan memakan masa berbulan-bulan – pendakwa raya pula mahu hukumannya ditambah kepada sembilan tahun.

Keputusan mahkamah untuk membenarkan ikat jamin Alves turut dikritik Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

sumber:- BH

“Kita tidak boleh berdiam diri dengan ketidakadilan ini. Hubungan seks antara dua orang perlu mendapat persetujuan bersama, jika tidak ia adalah satu jenayah,” kata Lula da Silva. – AFP