sukan

Soon Huat-Shevon muncul Juara

Beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie memberi tamparan kepada pasangan nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila mengatasi lawan itu untuk menjuarai saingan Terbuka Switzerland, sebentar tadi.

Soon Huat-Shevon yang menduduki ranking ke-14 dunia menamatkan badi kekalahan di pentas final apabila menewaskan Tang Jie-Ee Wei di ranking kesembilan 21-16, 21-13 dalam tempoh 37 minit pada aksi final di St Jakobshalle, Basel.

Semuanya bagaikan tidak menjadi buat Tang Jie-Ee Wei apabila banyak melakukan kesilapan mudah yang kemudiannya dihukum Soon Huat-Shevon untuk mendominasi permainan sejak dari awal sekali gus merangkul gelaran sulung Terbuka Switzerland.

Sebagai rekod, ia kali pertama gandingan Malaysia berjaya muncul juara dalam acara beregu campuran Terbuka Switzerland sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1955.

Soon Huat-Shevon dua kali berturut-turut kempunan untuk bergelar juara Terbuka Switzerland selepas tewas dalam aksi final edisi 2022 dan 2023.

Ini juga gelaran ketiga mereka dalam saingan Jelajah Dunia BWF sepanjang kerjaya selepas mengungguli Terbuka Jerman dan Terbuka Singapura pada 2018.

Selaku juara Terbuka Switzerland, Soon Huat-Shevon membawa pulang hadiah wang tunai AS$16,590 (RM78,583) manakala Tang Jie-Ee Wei AS$7,980 (RM37,799).

Sementara itu, Tang Jie-Ee Wei gagal dalam misi untuk merekodkan gelaran sulung mereka musim ini susulan kekalahan itu.

sumber:- BH

Pencapaian terbaik mereka musim ini adalah muncul naib juara Masters Thailand bulan lalu.