sukan

Liga Thailand diakui

Pemain kelahiran Kangar, Perlis Muhammad Zafuan Azeman yang kini bersama Uthai Thani FC di Liga Thailand menyifatkan persaingan di negara itu dilihat lebih kompetitif berbanding Liga Malaysia (Liga M).

Menurutnya, setiap kelab akan berusaha sebaik mungkin menyediakan segala kelengkapan diperlukan oleh pemain serta pasukan dan memastikan perkara asas seperti padang serta fasiliti berada dalam keadaan bagus kerana ia akan membantu pemain serta kelab itu sendiri.

Zafuan berkata, jika di Malaysia begitu terkenal dengan isu tunggakan gaji tetapi di Thailand, perkara itu menjadi keutamaan untuk mereka agar ia tidak terjadi kepada pemain.

“Di Thailand boleh dikatakan setiap kelab di T1 (Liga 1 Thailand), malah di T2 dan T3 amat menitikberatkan aspek kebajikan pemain serta fasiliti dan stadium. Boleh dikatakan setiap rumput di padang latihan serta stadium sentiasa berada pada tahap terbaik untuk latihan serta perlawanan (Liga Thailand).

“Persaingan merebut tempat sangat kompetitif tidak kira sama ada pemain tempatan atau pemain asing. Selain itu, di Thailand, tak pernah timbul isu gaji, semua kelab jaga kebajikan dengan baik serta penajaan liga dan setiap pasukan juga sangat hebat,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menurut pemain berusia 25 tahun itu, dia akan memberi fokus bersama Uthai Thani FC yang kini bermain di Liga 1 Thailand kerana dia yakin pasukan itu mampu membantu meningkatkan prestasinya ke tahap terbaik.

“Buat masa ini, saya fokus untuk kekal di Liga 1 Thailand kerana liga ini benar-benar berada pada tahap tertinggi dari sudut fasiliti dan tahap permainan yang saya percaya mampu menjadikan saya pemain lebih baik dan berdaya saing di masa depan.

“Saya bercadang utk kekal di T1 buat masa ini (2024) dan dapatkan sebanyak mungkin minit permainan dan bersaing dengan pemain asing (import) untuk posisi penyerang utama dan membantu pasukan saya untuk seboleh-bolehnya kekal di T1,” kata Zafuan.

Pada masa sama, ketika di tanya berkenaan isu mempunyai dua kerakyatan Malaysia dan Thailand, dirinya memilih tidak ingin mengulas secara lebih mendalam kerana ia isu agak sensitif dan boleh disalahertikan oleh orang ramai.

Ketika ini hanya seorang pemain skuad Harimau Malaya, Dion Cools yang beraksi bersama pendahulu Liga 1 Thailand, Buriram United. Untuk rekod, beberapa pemain tempatan pernah mewarnai dan memeriahkan Liga Thailand antaranya Norshahrul Idlan Talaha (BG Pathum United musim 2020), Mohamadou Sumareh (Police Tero musim 2020), Safawi Rasid (Ratchaburi FC musim 2023) dan ramai lagi.

sumber:- HM

Selain itu, bekas pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe juga antara jurulatih tempatan pertama dari Malaysia yang melakukan perpindahan mengejutkan ke pasukan Police Tero bagi mendapatkan pengalaman yang lebih dalam kariernya.