sukan

Tonggak Oman akui bimbang

Pemain pertahanan Oman, Mohammed al Musallami memberi bayangan bahawa pasukannya mempunyai tugas berat berdepan Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.

Kedua-dua pasukan itu akan bertembung buat kali kedua dalam Kumpulan D kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas aksi di Muscat, kelmarin memihak Oman dengan keputusan 2-0.

Oman yang kini memimpin saingan Kumpulan D susulan kemenangan di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat tetap dianggap sebagai pasukan pilihan meskipun mereka bertandang ke ‘kandang’ Harimau Malaya.

Ia berdasarkan kedudukan ranking mereka yang paling tinggi dalam kalangan pasukan Kumpulan D iaitu di tangga 80 dunia, 52 anak tangga di depan Malaysia yang menghuni ranking 132.

Musallami bagaimanapun menyifatkan kemenangan di gelanggang sendiri yang diraih mereka ke atas Malaysia sebagai bukan kemenangan yang mudah.

Justeru, dia berkata kemenangan itu memberi motivasi terbaik buat skuad kendalian Jaroslav Silhavy bagi menghadapi aksi seterusnya di Stadium Nasional.

“Tahniah kepada semua penyokong kami. Ia bukan kemenangan yang mudah. Sebagai pemain, kami mengambil tanggungjawab penuh dalam perlawanan.

“Ketua jurulatih bersama kami dalam tempoh yang singkat dan kami melaksanakan semua arahannya. Ada tugas besar menanti kami dalam perlawanan akan datang,” katanya seperti dilaporkan Oman Observer.

sumber:- BH

Selepas mengharungi tiga perlawanan, Oman terikat enam mata bersama Kyrgyzstan dan Malaysia yang menghuni tangga kedua dan ketiga kumpulan manakala Taiwan yang tewas semua perlawanan di kedudukan tercorot.