sukan

Kim Pan Gon perlu ‘rawat’ segera

Harimau Malaya perlu melupakan segera episod duka di Muscat ketika tewas 0-2 kepada Oman dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Kini, perkara paling penting buat Harimau Malaya adalah memikirkan cara bagaimana untuk menebus kekecewaan itu apabila akan menanti Oman di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.

Harimau Malaya dilihat perlu memperkuatkan mental mereka pada tahap terbaik sekiranya menyimpan hasrat besar untuk menewaskan pasukan ranking 80 dunia itu di halaman sendiri.

Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin menyifatkan Harimau Malaya sudah kesuntukan masa jika mahu memperbaiki kelemahan dari segi tahap kecergasan pemain.

Beliau menjelaskan, barisan kejurulatihan yang diketuai Kim Pan Gon perlu ‘merawat’ mental pemain selain menggunakan pendekatan berbeza untuk memerangkap Oman.

“Pasukan kena mempersiapkan barisan pemain yang lebih kepada menyerang kerana kita bermain di rumah sendiri. Perlawanan itu sangat penting kerana ia akan mempengaruhi perjalanan Malaysia ke pusingan seterusnya.

“Pan Gon dan pemain harus bangkit untuk memberi persembahan lebih baik di Bukit Jalil. Saya fikir tak boleh nak persiapkan dari segi tahap kecergasan pemain.

“Apa yang boleh Pan Gon buat ketika ini adalah memastikan pemain melupakan kekalahan (di Muscat) dan menyuntik motivasi untuk memastikan mental mereka berada pada tahap lebih baik,” katanya .

Keputusan aksi di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat adalah kekalahan sulung dialami Harimau Malaya dalam kempen kelayakan kali ini selepas melakar rekod kemenangan bersih berdepan Kyrgyzstan dan Taiwan.

Kekalahan itu menyaksikan Harimau Malaya jatuh ke tangga ketiga Kumpulan D, berkongsi enam mata bersama Oman dan Kyrgyzstan yang menghuni kedudukan dua teratas.

Selain itu, Sulaiman yang juga Exco Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) menganggap faktor kecergasan sebagai antara punca utama Harimau Malaya tewas kepada Oman.

“Saya lihat salah satu faktor kekalahan Malaysia adalah kerana tahap kecergasan yang mana semua tahu liga kita belum bermula. Intensiti permainan rendah dan nampak pasukan terlalu bergantung kepada Arif Aiman untuk mencipta gerakan.

sumber:- BH

“Kita boleh nampak beberapa pemain selepas minit 60 atau 65 minit sudah kelihatan lesu. Harimau Malaya bernasib baik kerana Oman tiada penyerang yang benar-benar bagus dan boleh selesaikan segala gerakan yang mereka buat,” katanya.