sukan

Bekas Pengadil akui jaringan Malaysia dirompak

Adakah jaringan yang diledak Paulo Josue ketika menentang Oman dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, semalam sepatutnya dikira?

Jaringan penyamaan buat Harimau Malaya pada minit ke-80 itu menjadi perdebatan hangat khususnya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas ia dibatalkan pengadil kerana ofsaid.

Apa yang menjadi pertikaian apabila terdapat pandangan bahawa jaringan berkenaan sepatutnya dikira meskipun Josue berada dalam posisi ofsaid ketika hantaran dilakukan Endrick Dos Santos.

Hantaran itu bagaimanapun menuju ke arah salah seorang pemain Oman sebelum pemain terbabit terlepas bola dan ia digunakan Josue untuk menjaringkan gol.

Salah seorang bekas pengadil kebangsaan yang enggan namanya didedahkan menjelaskan keputusan penolong pengadil mengenai jaringan itu silap.

“Penyerang (Josue) tidak menghalang tindakan atau pergerakan pemain pertahanan untuk memainkan bola. Dia kekal di pada kedudukannya dan tidak membuat isyarat untuk mencabar atau menghalang pemain lawan.

“Pemain pertahanan (Oman) mempunyai kelebihan dalam memerhati pergerakan arah bola. Dia juga mempunyai masa, ruang dan jarak yang cukup untuk menjangka pergerakannya.

“Ini membolehkan dia meramal pergerakan bola. Ia adalah faktor yang harus dipertimbang terhadap pemain pertahanan itu dengan dia dalam situasi boleh mengawal dan memainkan bola.

“Pemain pertahanan itu gagal mengawal bola dengan betul kerana kelemahan kemahirannya. Oleh itu, keputusannya, jaringan itu sepatutnya dikira,” katanya.

Seandainya jaringan penyamaan itu tidak dibatalkan pengadil, mungkin keputusan berbeza yang dibawa pulang Harimau Malaya dari Muscat bagi aksi ketiga Kumpulan D itu.

sumber:- BH

Skuad kendalian Kim Pan Gon bagaimanapun terpaksa menerima kekalahan 0-2 dengan jaringan Oman dihasilkan Issam Al Sabhi dan Muhsen Al Ghassani pada minit ke-58 dan 88.