sukan

Pan Gon akan lihat kembali tayangan video

Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon optimis peluang untuk melepasi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 masih terbuka selepas anak buahnya tumbang 0-2 di tangan Oman di Stadium Kompleks Sukan Sultan Qaboos, awal pagi tadi.

Kekalahan itu bukan saja mencalar rekod bersih Malaysia dalam dua aksi sebelum ini, malah kedudukan selaku pendahulu Kumpulan D turut hilang apabila pasukan kini berada di tangga ketiga untuk berkongsi enam mata dengan tiga lagi pasukan termasuk Oman dan Kyrgyzstan.

Begitupun, Pan-gon masih percaya peluang mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia masih ada dengan syarat pemain wajib mengutip seberapa banyak mata dalam tiga baki aksi kumpulan termasuk cuba menumbangkan Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Katanya, berdepan skuad The Reds yang menghuni tangga ke-80 dunia itu bukan mudah apatah lagi ia berlangsung di depan ribuan penyokong lawan.

“Ia sukar (perlawanan) dan kami sedar pasukan lawan berada di kelas tersendiri, di mana pasukan Oman pasukan pilihan dan berada di kedudukan balang pertama (ketika undian), serta bermain di tempat mereka.”

Kami cuba terbaik untuk beri saingan, dan apabila bermain di tempat kita nanti situasi akan berbeza. Sudah tentu mengenai kecergasan pemain kita tidak boleh minta lebih.

“Tapi kalau kita nak pergi ke pusingan 18 terbaik, saya fikir aksi selepas ini kita wajib meraih mata dan cuba lakukannya. Kita harus percaya peluang masih ada, di mana kita masih ada lagi tiga perlawanan dan sebaiknya kita berfikir positif untuk baki aksi berikutnya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Malaysia yang memulakan kempen kelayakan dengan cemerlang susulan dua kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan sebelum ini, terpaksa akur dengan keampuhan Oman apabila dua jaringan pada babak kedua memisahkan kedua-dua pasukan.

Gol tuan rumah diraih menerusi Issam Al-Sabhi pada minit 58 dan Muhsen Al-Ghassani di minit 88 untuk meletakkan kembali mereka di landasan tepat ke pusingan berikutnya.

Jelas Pan-gon lagi, beliau akan melihat kembali tayangan video perlawanan itu bagi mengenal pasti kelemahan tertentu dan bersedia menghadapi aksi di Bukit Jalil nanti.

“Bagi saya, pemain sudah berikan segala-galanya dengan beri aksi bertenaga. Kita kena segera lihat kembali cara kita bermain dan pulihkan kembali kecergasan fizikal bagi persediaan perlawanan di tempat sendiri nanti.

sumber:- HM

“Kami masih ada satu lagi perlawanan dan pasukan akan membuat persiapan sebaik mungkin untuk berikan sesuatu,” katanya yang turut memohon maaf kepada seluruh peminat tanahair di atas kekalahan itu.