sukan

Impian musnah, “Kita akan cuba lagi buat rayuan terakhir”

PERLIS United FC (PUFC) memohon maaf kepada semua penyokongnya atas kegagalan memenuhi syarat-syarat tambahan ditetapkan oleh Badan bebas First Instance Body (FIB) bagi melayakkan diri menyertai Liga Super 2024-2025.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rozailmee Zulkiply berkata, kelab tersebut berusaha memohon membuat rayuan bagi mendapatkan lanjutan masa namun gagal

“Maafkan kami semua peminat bola sepak Perlis. Rayuan kami untuk dapat lanjutan sedikit masa lagi gagal kali ini.

“Kita akan cuba lagi buat rayuan terakhir,” katanya seperti dipetik melalui laman media sosial rasminya pada Rabu.

Rozailmee berkata, PUFC sangat berharap diberikan masa bagi memenuhi syarat-syarat tambahan tersebut dan kelab itu berharap semoga masih ada jalan dan harapan untuk mereka.

Sementara itu, Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dalam satu kenyataan menerusi Malaysian Football League berkata, keputusan tidak memberikan Lesen Kebangsaan kepada PUFC dibuat berikutan kegagalan memenuhi syarat-syarat tambahan selepas pengumuman berkenaan keputusan Lesen Luar Biasa (Extraordinary License) M3 Amateur Football League (AFL) pada 7 Mac lalu.

Menurutnya, FIB telah menetapkan syarat untuk memastikan semua usaha wajar kewangan diselesaikan sebelum mengeluarkan sebarang lesen kepada kelab dari utara itu.

“Walaupun tarikh akhir penyerahan pada 22 Mac masih belum berakhir namun FIB mengesahkan bahawa PUFC telah gagal tiga daripada empat syarat awal itu dengan tidak mengemukakan sebarang dokumen seperti yang diminta dan telah melanggar semua tarikh akhir yang diberikan.

“FIB mengekalkan syarat ketatnya demi untuk menjaga kestabilan kewangan liga dan kelab-kelab serta proses usaha wajar kewangan ini dilaksanakan dengan teliti untuk memastikan Liga Malaysia tidak menghadapi kebimbangan kewangan sekiranya PUFC dibenarkan bertanding,” katanya dalam kenyataan berkenan.

sumber:- SH

Kegagalan PUFC untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan tersebut menyaksikan hanya 13 kelab yang akan bersaing dalam Liga Super bagi musim 2024-2025.