sukan

Beza agama namun tetap hulur bantuan

Kejayaan Jonatan Christie menamatkan penantian Indonesia selama 30 tahun dalam perseorangan lelaki meraih gelaran Seluruh England minggu lalu mungkin disebabkan berkat kebaikannya sebelum ini yang mendermakan wang untuk mendirikan sebuah masjid di Lombok.

Semua ketentuan itu hanya Allah SWT sahaja yang ada jawapannya, tapi apa yang pasti Jonatan bukan sahaja dilabel sebagai antara perseorangan lelaki paling hebat di Indonesia malah turut disanjung di atas kemuliaan hatinya.

Kisah mengenai Jonatan atau lebih dikenali dengan nama timangan ‘Jojo’ membangunkan masjid hampir Rp 1 bilion (RM300,000) menjadi perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Walaupun berbeza agama, Jonatan sudah pasti akan dilimpahkan rezeki 10 kali berlipat ganda di atas kebaikannya itu dan perkara berkenaan pernah dikongsinya dalam satu temubual bersama pelakon, Daniel Mananta di YouTube pada 2022.

Jonatan menjelaskan sumbangannya itu adalah hasil daripada bonus yang diraihnya ketika membantu skuad badminton Indonesia memenangi emas dalam acara perseorangan lelaki di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Bonus yang berjaya diraih Jonatan di atas kejayaannya itu ialah Rp1.8 bilion daripada kerajaan dan dari situlah dia membangunkan sebuah masjid di Lombok.

Lombok menjadi pilihan pemain berusia 27 tahun itu kerana ketika meraih bonus daripada kerajaan, pulau berkenaan dilanda gempa bumi dan mengakibatkan kerosakan teruk bangunan membabitkan rumah, masjid serta sebagainya.

Jonatan dikatakan menyumbang separuh daripada bonus kemenangannya iaitu untuk membangunkan semula masjid dan tempat persinggahan/kediaman.

Pemain yang mula meminati sukan badminton sejak berusia enam tahun itu sebenarnya sudah bernazar sebelum turun beraksi di Sukan Asia, jika berjaya muncul juara separuh daripada bonus akan didermakannya.

Dia yang menjadikan legenda China, Lin Dan sebagai idola mendirikan rumah tangga dengan bekas penyanyi kumpulan JKT48, Shania Junianatha.

Selain Seluruh England dan emas Sukan Asia 2018, Jonatan juga pernah membantu Indonesia merangkul gelaran juara Piala Thomas 2022 di Aarhus dan muncul juara Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

sumber:- HM

Bagi saingan Jelajah BWF dia pernah muncul juara Terbuka New Zealand (2019), Terbuka Australia (2019), Terbuka Switzerland (2022), Masters Indonesia (2023), Terbuka Hong Kong (2023) dan Terbuka Perancis (2023).